Wan Azizah memperkatakan sesuatu kepada Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu (tiga dari kiri); Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar yang juga Naib Presiden PKR (dua dari kiri) dan Anthony Loke yang juga Pengerusi DAP Negeri Sembilan (kiri) ketika menghadiri ceramah 'Grand Finale' bagi membantu calon PH, Dr S Streram bagi PRK DUN Rantau di Bandar Bandar Sri Sendayan, malam tadi. FOTO Bernama.
Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Rizanizam Abdul Hamid


JAJARAN baharu Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bakal memberi impak pembangunan apabila berjaya mengurangkan kos pembinaan berjumlah RM21.5 bilion.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, perubahan jajaran itu dapat mengelak pembinaan terowong sepanjang 18 kilometer merentasi Banjaran Titiwangsa.

Beliau berkata, perubahan jajaran itu menyaksikan lebih banyak negeri menerima impak dan manfaat kepada pembangunan khususnya luar bandar termasuk Negeri Sembilan di daerah Jelebu dan Kuala Klawang.

“Sebelum ini hanya empat negeri saja, tetapi jajaran baharu ini kita dapat lima negeri (yang akan dilalui ECRL),” katanya ketika berucap dalam Majlis Grand Finale Kempen Pakatan Harapan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, di Bandar Sri Sendayan, Rembau, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, stesen ECRL akan dibina di Negeri Sembilan pasti memberi impak pembangunan luar bandar termasuk peluang pekerjaan kepada anak Negeri Sembilan.

“Pengumuman mengenai perubahan jajaran ECRL bukan dibuat sempena PRK ini, tetapi perbincangan sudah dijalankan sejak tahun lalu,” katanya.

Sebelum ini, Wakil Khas Perdana Menteri, Tun Daim Zainuddin, mengumumkan projek ECRL akan diteruskan dengan kos pembinaan sebanyak RM44 bilion berbanding kos asal RM65.5 bilion.

Daim berkata, China dan Malaysia bersetuju untuk projek berkenaan jarak jajaran asal sepanjang 688km dikurangkan sebanyak 40km kepada 648km.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Rantau
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2019 @ 12:40 AM