Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Rizanizam Abdul Hamid


SELEPAS 14 hari tempoh berkempen, hari ini bermulalah proses mengundi biasa bagi membolehkan rakyat memilih wakil rakyat baharu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Sebanyak 14 pusat mengundi membabitkan 53 saluran dibuka bermula 8 pagi hingga 5.30 petang ini.

Sejumlah 20,793 pengundi biasa layak mengundi hari ini selepas 96 peratus daripada 110 pengundi awal terdiri daripada anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia menjalankan tanggungjawab masing-masing 9 April lalu.

Proses pengiraan undi akan dilakukan di Dewan Serbaguna Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Bandar Sri Sendayan.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun semalam dilaporkan berkata, keputusan penuh PRK DUN Rantau dijangka diketahui selewat-lewatnya 10 malam ini.

PRK DUN Rantau menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH) Dr S. Streram, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan dan dua calon Bebas, suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

Ia adalah PRK ke tujuh selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018, dengan yang pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 September), Parlimen Port Dickson (13 Oktober) Parlimen Cameron Highlands (26 Januari) dan DUN Semenyih (2 Mac).

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Rantau
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2019 @ 7:54 AM
    ANGGOTA polis mengawal keselamatan di perkarangan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hua, Rantau, sempena hari mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau. FOTO Iqmal Haqim Rosman.