DR S Streram beramah mesra dengan pengundi PRK DUN Rantau di Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Rantau, hari ini. FOTO NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Rizanizam Abdul Hamid
am@hmetro.com.my


CALON Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr S Streram tiba di pekarangan Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Rantau, Bandar Ekar, 8.25 pagi ini untuk mengundi.

Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau itu yang mengenakan baju putih akan mengundi di Saluran 1.

Hari ini, seramai 20,793 pengundi biasa layak mengundi di 14 pusat mengundi membabitkan 53 saluran dibuka bermula 8 pagi hingga 5.30 petang.

PRK DUN Rantau menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Dr Streram, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan dan dua calon Bebas, suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

PRK berkenaan diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 November lalu yang mengisytiharkan kemenangan beliau pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), terbatal dan tidak sah.

Pada PRU-14, Mohamad menang tanpa bertanding kerusi berkenaan selepas Dr Streram dilarang masuk ke pusat penamaan calon kerana tidak memiliki pas dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Rantau
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2019 @ 8:35 AM