SEBAHAGIAN daripada ahli Badan Bukan Kerajaan (NGO) berkumpul selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah Polis Kuantan (IPD), Kuantan, berkaitan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah yang dibuat di laman sosial serta Facebook, Sabah-Sarawak Merdeka. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Nurul Hidayah Bahaudin


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menerima sebanyak 91 laporan di seluruh negara sehingga semalam berhubung status dimuat naik oleh pemilik Facebook ‘Sabah-Sarawak Merdeka’ yang menghina dan mencerca Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 iaitu kesalahan melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut.

“Jika disabitkan kesalahan, individu itu boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyalahgunakan media sosial atau mana-mana rangkaian komunikasi untuk membuat sebarang bentuk provokasi yang boleh menggugat ketenteraman awam dan kesejahteraan masyarakat,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Terdahulu, satu status dimuat naik di laman Facebook ‘Sabah-Sarawak Merdeka’ tular di media sosial sejak beberapa hari lalu memaparkan gambar Yang di-Pertuan Agong diubah suai yang menghina dan mencerca baginda.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2019 @ 9:02 AM