CALON Pakatan Harapan, Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr. S. Streram. FOTO Adzlan Sidek
Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Rizanizam Abdul Hamid
am@hmetro.com.my


“JIKA menang Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini, ia akan menjadi hadiah paling manis sempena ulang tahun perkahwinan kami ke-34 yang jatuh pada tarikh hari ini,” kata Calon Pakatan Harapan (PH) bagi PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr S Streram.

Menurut doktor pakar bius itu, walaupun tidak ditemani isteri, R Pushpagandy, 60, yang juga doktor pakar radiologi, beliau gembira kerana hari bahagia mereka jatuh pada hari ini.

“Saya telah buat yang terbaik sepanjang tempoh berkempen 14 hari lalu dan sedia menerima apa sahaja keputusan kerana kita tidak boleh menetapkan apa-apa jangkaan.

“Jika menang saya akan segera turun padang esok untuk mengucapkan terima kasih kepada pengundi,” katanya.

Terdahulu, Dr Streram tiba di pekarangan Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Rantau, Bandar Ekar pada 8.25 pagi ini sebelum beratur dan selesai mengundi pada 8.35 pagi.

Hari ini, seramai 20,793 pengundi biasa layak mengundi di 14 pusat mengundi membabitkan 53 saluran dibuka bermula jam 8 pagi hingga 5.30 petang.

PRK DUN Rantau menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Dr Streram, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan dan dua calon Bebas, suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

PRK berkenaan diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 November lalu yang mengisytiharkan kemenangan beliau pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), terbatal dan tidak sah.

Pada PRU-14, Mohamad menang tanpa bertanding kerusi berkenaan selepas Dr Streram dilarang masuk ke pusat penamaan calon kerana tidak memiliki pas dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Rantau
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2019 @ 9:28 AM