CALON Barisan Nasional, Datuk Seri Mohamad Hasan bersama isteri, Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumudin selepas selesai mengundi pada 8.45 pagi sempena hari mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hua, Rantau, Negeri Sembilan. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Rizanizam Abdul Hamid


CALON Barisan Nasional (BN) berpuas hati dengan penambahbaikan yang dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, hari ini.

Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, antara penambahbaikan yang dilakukan adalah menyediakan tempat pengundian untuk pengundi saluran satu dan dua di dalam dewan berbanding di dalam kelas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Menurutnya, ini memudahkan pengundi dua saluran berkenaan yang sudah berusia dan berkerusi roda untuk mengundi.

Beliau berkata, selain itu SPR juga membenarkan pengundi untuk mengambil terlebih dulu kertas undi untuk masuk ke bilik pengundian tanpa perlu beratur lama.

“Terima kasih kepada SPR kerana mengambil kira teguran dan cadangan yang dibuat selepas PRU14 yang lalu.

“Penambahbaikan ini membolehkan proses pengundian berjalan lancar,” katanya ketika ditemui selepas mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohamad atau Tok Mat tiba bersama isteri Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumudin serta ahli keluarga di sekolah berkenaan 8.26 pagi.

Proses pengundian bermula 8 pagi hari ini dan berakhir jam 5.30 petang nanti di 14 pusat pengundian.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Rantau
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2019 @ 10:05 AM