PELEPASAN acara berjalan kaki Minggu Saham Amanah Malaysia di Amanjaya Mall, Sungai Petani. FOTO/ Nor Farhani Che Ad
GAMBAR HIASAN
Nor Farhani Che Ad
am@hmetro.com.my


KEDAH bakal mengajak syarikat Google dan Facebook untuk membuka cawangan mereka di Kulim Hi-Tech dalam rangka pembangunan Kedah Digital yang diusahakan oleh kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Mohd Firdaus Ahmad berkata, ia masih dalam peringkat perbincangan dan penelitian.

“Difahamkan sebelum ini Kedah pernah membuka tawaran yang sama kepada syarikat Google dan mereka berminat, namun ia terhenti.

“Kita akan melihat kembali perbincangan itu dan meneruskan perancangan berkenaan,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan acara berjalan kaki Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) Walk 2019 di Amanjaya Mall, Sungai Petani, hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya kini giat menjalankan pembinaan 40 menara di kawasan pedalaman bagi memastikan setiap kawasan di negeri itu dapat menikmati jalur lebar dan capaian syarikat telekomunikasi.

“Pembinaan yang bermula sejak awal Januari lalu kini ada yang sudah beroperasi. Ada yang akan beroperasi pada September ini dan ada yang dalam pembinaan.

“Semua menara dibina di kawasan pedalaman serta tempat yang perlukan pembangunan seperti Baling, Kubang Pasu dan beberapa tempat lain,” katanya.

Beliau berkata, capaian jalur lebar di Kedah dicatatkan pada kadar 95.6 peratus bagi suku ketiga 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2019 @ 12:19 PM