SUASANA peraih undi yang bersorak dibahu jalan mengakibatkan kesesakan lalulintas sempena hari mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hua, Rantau, Negeri Sembilan. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Rizanizam Abdul Hamid
am@hmetro.com.my


SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) kecewa dengan tindakan penyokong parti bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang masih mendirikan barong meraih undi di beberapa pusat pengundian biarpun berkali-kali diingatkan tidak berbuat demikian.

Pengerusinya Azhar Azizan Harun berkata, dalam tinjauannya hari ini mendapati, biarpun proses pengundian berjalan lancar, kewujudan barong-barong panas itu seolah-olah tidak mengendahkan amaran dikeluarkan suruhanjaya itu semalam.

“Saya telah melawat tiga pusat mengundi dan dari segi disiplin, (penyokong) parti politik itu agak kurang memuaskan kerana barong-barong panas masih dibina.

“Saya sendiri suruh berhenti dan mereka berhenti 15 minit, (tetapi) minit ke 16 jalan (mula) balik,” katanya pada sidang media selepas melawat pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Nyatoh, di Rantau, hari ini.

Semalam Azhar Azizan menasihati semua pihak supaya tidak melanggar undang-undang dan peraturan pilihan raya termasuk kempen meraih undi melalui barong pada hari pengundian.

Sementara itu, ditanya mengenai tindakan calon Pakatan Harapan (PH) Dr S Streram yang berkempen ketika sidang media di Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Rantau pagi tadi, Azhar Azizan berkata, orang ramai yang mempunyai rakaman ketika sidang media itu boleh membuat laporan polis untuk tindakan susulan.

“Saya pun berharap calon-calon dan parti-parti terbabit ini, perkara (kesalahan barong) yang terang benderang begini hentikanlah.

“Ia memberikan imej tak baik dan kalau mereka menang pun nanti perkara ini boleh dibangkitkan dalam petisyen pilihan raya,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Rantau
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2019 @ 1:21 PM