ANGGOTA bomba berusaha memadamkan kebakaran kilang di Jalan Perigi Nenas, Pulau Indah. FOTO/ Ihsan Bomba
Siraj Mohd Zaini


HAMPIR sembilan jam anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran di sebuah kilang pemprosesan silikon yang musnah 100 peratus di Pulau Indah, Pelabuhan Klang malam tadi.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Klang, Samsol Maarif Saibani berkata, material yang berada di dalam kilang berkeluasan 1.214 hektar itu menyebabkan anggota bomba mengambil masa untuk memadamkan kebakaran berkenaan.

Menurutnya, api berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira jam 6 pagi tadi namun pihaknya masih menempatkan beberapa anggota bomba di lokasi kejadian hari ini.

“Kerja pemadaman selesai awal pagi tadi. Meskipun tiada lagi bara api, masih ada beberapa kawasan yang berasap.

“Oleh itu, anggota bomba masih ditempatkan di lokasi bagi memastikan tiada lagi sumber boleh mengeluarkan api.


KEADAAN kilang yang musnah dalam kebakaran berkenaan. FOTO/ Ihsan Bomba

“Material silikon yang ada di kilang ini susah terbakar tetapi apabila ia terbakar, kerja pemadaman perlu mengambil masa.

“Malam tadi apabila bomba memadamkan api, air yang digunakan itu bercampur dengan cecair terbakar dan ia mengalir ke kawasan lain. Ia menyebabkan api merebak hingga keseluruhan kilang terbakar,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 8.45 malam. Seramai 55 anggota dan pegawai bomba bersama enam jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang, Andalas dan Kota Raja dikerahkan bagi memadamkan kebakaran itu.

“Api berjaya dikawal jam 10.15 malam tadi namun operasi pemadaman berlanjutan sehingga pagi.

“Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan, tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2019 @ 3:59 PM