LAPORAN sebelum ini
Muhamaad Razis Ismail


POLIS percaya sekurang-kurangnya tiga suspek kes bunuh membabitkan seorang lelaki di Kampung Kedondong, Kadok, Kota Bharu, Isnin lalu, sudah melarikan diri dari negeri ini.

Dalam kejadian 8.30 malam, mayat mangsa berusia 31 tahun ditemui penduduk dengan kesan tetakan di beberapa bahagian badan.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata, selepas mengetahui diburu suspek bersembunyi di luar negeri ini bagi mengelak ditahan.

Katanya, bagaimanapun usaha mengesan suspek yang sudah dikenal pasti itu akan diteruskan.

“Selepas kejadian itu, polis berjaya menahan seorang suspek berusia 48 tahun. Setakat ini, tiada tangkapan baru namun usaha mengesan beberapa suspek giat dijalankan.

“Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil ke balai polis berhampiran,” katanya ketika ditemui selepas Program Gotong-Royong Memerangi Aedes di Kampung Kubang Siput, Pasir Tumboh, hari ini.

Seramai 200 anggota polis dan penduduk terbabit dalam program dianjurkan sempena peringatan Hari Polis ke-212.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, seorang lelaki ditemui mati akibat parah di belakang kepala disyaki dipukul bertubi-tubi menggunakan senjata tajam.

Susulan itu, seorang lelaki ditahan pada 3 pagi, Selasa lalu untuk siasatan lanjut.

Berita berkaitan

Lelaki dibunuh selepas bertengkar [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2019 @ 4:45 PM