ORANG ramai beratur mengundi bagi PRK DUN Rantau di Sekolah Kebangsaan Nyatoh, Rantau. FOTO Adzlan Sidek
Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Rizanizam Abdul Hamid


PRK RANTAU: Kesedaran dan personaliti faktor utama

Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Rizanizam Abdul Hamid

Gambar NSTP

Rembau: Peratusan keluar mengundi 79.3 peratus pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau hari ini adalah yang tertinggi tertinggi berbanding enam PRK sebelum ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun berkata, pihaknya gembira kerana berjaya melepasi sasaran 70 peratus hasil kesedaran rakyat, peranan media dan personaliti bertanding.

"Peratusan ini mula meningkat sedikit demi sedikit dari PD (PRK Parlimen Port Dickson) sehingga mencapai klimaksnya 79.3 peratus.

"Ini adalah pencapaian tertinggi berbanding enam PRK lain sebelum ini yang saya rasa kerana kesedaran, personaliti dan peranan media massa.

"Semua faktor ini saya fikir adalah punca yang dapat menarik pengundi untuk melaksanakan kewajipan mereka," katanya.

PRK DUN Rantau adalah PRK ke tujuh selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018, dengan yang pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 September), Parlimen Port Dickson (13 Oktober) Parlimen Cameron Highlands (26 Januari) dan DUN Semenyih (2 Mac).

PRK DUN Sungai Kandis sebelum ini hanya mencatatkan 49.4 peratus keluar mengundi diikuti Balakong (43) dan Seri Setia 44 peratus.

PRK Parlimen Port Dickson yang menyaksikan kemenangan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula mencatatkan 58.3 peratus keluar mengundi sementara PRK Parlimen Cameron Highlands, 68.79 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2019 @ 9:34 PM