Firdaus menunjukkan laporan polis yang dibuatnya. FOTO Siti A’isyah Sukaimi
Siti A’isyah Sukaimi


PENDAKWAH bebas, Firdaus Wong Wai Hung membuat laporan polis terhadap dua individu berhubung fitnah dan ugutan diterima ke atasnya termasuk bunuh melalui laman sosial Facebook (FB).

Laporan itu dibuatnya di Balai Polis Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 4.08 petang hari ini susulan fitnah dibuat seorang individu sekali gus mendorong seorang individu lain membuat komen ugutan bunuh.

Firdaus mendakwa, kejadian itu disedarinya semalam iaitu ketika berada di Jakarta, Indonesia apabila seorang pemilik akaun berkongsi status FB miliknya.

Susulan itu katanya, seorang pemilik akaun lain meninggalkan komen menggugut bunuh.

“Tuduhan dan fitnah berterusan daripada pemilik akaun menyebabkan ramai individu membenci dan mengugut saya,” katanya yang membuat laporan polis kerana merasakan nyawanya terancam.

Dalam pada itu, Firdaus berkata, fitnah dan ugutan yang diterima tidak menggugat usaha dakwahnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Zulkifli Adamshah ketika dihubungi berkata, beliau mengesahkan kedua-dua laporan itu dibuat di Balai Polis Bangunan Terminal Utama (MTB) KLIA.

“Kita rujuk ke Wangsa Maju kerana kes berkenaan disiasat di sana berikutan satu laporan polis sudah dibuat lebih awal di Wangsa Maju,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2019 @ 10:26 PM