SEORANG daripada mangsa yang terselamat dalam kemalangan bas pekerja yang mengorbankan 12 nyawa berhampiran Kompleks MASkargo di Sepang Ahad lalu mendakwa bas berkenaan berlumba ketika kemalangan berlaku.
Ketua Polis Daerah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Asisten Komisioner Zulkifli Adamsah berkata, polis akan mengambil keterangan lanjut daripada mangsa berhubung dakwaan itu.
Perkara itu didedahkan beliau ketika mengumumkan laporan oleh Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) mengenai kemalangan itu yang diterima semalam.
Beliau berkata, polis kini menunggu laporan ujian darah pemandu bas bagi memastikan sama ada dia memandu di bawah pengaruh dadah atau sebagainya.
Katanya, menurut laporan Puspakom bas yang terjunam ke dalam longkang ketika kemalangan itu berada dalam keadaan baik.
“Bas pekerja itu berada dalam keadaan baik dan sempurna. Tidak ada masalah teknikal seperti brek dan sebagainya.
“Jumlah penumpang yang dibawa adalah mengikut kapasiti yang ditetapkan iaitu 44 orang termasuk pemandu.
“Bedah siasat ke atas semua mangsa mendapati mereka maut akibat hentakan yang kuat di dada,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA hari ini.
Dalam kejadian 11.10 malam Ahad itu, pemandu bas warga tempatan dan lapan pekerja warga asing maut di tempat kejadian apabila bas yang membawa 44 orang termasuk pemandu terjunam ke dalam longkang besar sedalam empat meter berhampiran Kompleks MASkargo.
Dua lagi pekerja warga asing meninggal dunia di Hospital Putrajaya dan seorang lagi di Hospital Serdang.
Zulkifli berkata, 12 mayat mangsa kemalangan itu sudah dituntut oleh keluarga, majikan dan kedutaan masing-masing dan dihantar pulang ke negara asal.
Sebanyak 11 mangsa lagi masih dirawat di hospital dan 20 mangsa kemalangan yang terselamat sudah memberikan keterangan kepada polis.
Berita berkaitan: