Bot nelayan yang ditahan Maritim Malaysia di Pantai Kuala Sala. FOTO Ihsan Maritim Malaysia
Aizat Sharif


TEKONG bersama tiga awak-awak ditahan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) hari ini kerana didapati melanggar syarat sah lesen perikanan dengan menangkap ikan di luar kawasan dibenarkan.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, nelayan berusia lingkungan 40 hingga 49 tahun itu ditahan di bot kelas B1 ketika berada pada kedudukan 6.70 batu nautika barat Pantai Kuala Sala, Yan sekitar jam 12.30 tengah malam.

“Semua yang ditahan adalah warga tempatan dan berdasarkan siasatan awal kami, mereka menangkap ikan pada awal pagi di luar kawasan dibenarkan.

“Inilah yang menjadi taktik bot tunda dalam mengaut keuntungan berganda dan sikap tamak pengusaha bot yang tidak mematuhi syarat sah lesen ini dikhuatiri merosakkan ekosistem laut sekali gus pendapatan nelayan terutama nelayan pantai terjejas,” katanya hari ini.

Katanya, turut disita adalah hasil tangkapan ikan yang dianggarkan seberat lebih 100 kilogram.

“Bot serta nelayan yang ditahan itu kemudiannya dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk disiasat mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana kesalahan melanggar syarat sah lesen,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2019 @ 11:14 PM