MIKYAL (tiga dari kiri) dan enam adik-beradik lain yang kini yatim piatu. FOTO Nor Amalina Alias
Nor Amalina Alias


“ARWAH ibu pernah berpesan walau apa pun terjadi, kami lapan beradik jangan berpisah,” luah Mikyal Mohd Bahkrudin, anak kedua daripada lapan beradik yatim piatu di Kampung Padang Lengkuas, Melor, Kota Bharu.

Akibat kehilangan kedua-dua orang tuanya, Mikyal, 19, kini terpaksa membantu abang sulungnya, Muhammad Zulkarnain, 20, menguruskan enam adiknya di rumah.

Mikyal mengambil alih tugas sebagai ‘ibu’ mengurus makan minum dan pakaian adik-beradiknya yang lain di rumah, manakala abangnya bekerja mencari upah kerja kampung untuk menyara mereka.

Bapa mereka, Mohd Bahkrudin Meli meninggal dunia akibat Hepatitis B pada April 2017 dan ibu, Saniah Abdul Salam pula menghembus nafas terakhir pada 27 Februari lalu, akibat barah payu dara.

Ketika ini, selain bergantung kepada abang sulung bagi menampung perbelanjaan lapan beradik, mereka juga hanya mengharapkan wang Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450 sebulan.

Mikyal yang kini tinggal di rumah peninggalan orang tuanya berkata, ramai bersimpati dengan keluarganya, malah ada menyatakan hasrat mahu menjaga adiknya, namun dia dan abangnya enggan kerana teringat pesan arwah ibu.

Katanya, buat masa ini, enam adiknya, iaitu Rumaisha, 17; Abu Zarin, 15; Ahmad Dawuda, 13; Abdul Salam Muaz, 12; Mukhlisa Mumtaz, 10; dan Widad Awatif, 8, masih bersekolah di Sekolah Menengah Ugama (A) Hamidiah Padang Lepai, Kadok dan Sekolah Kebangsaan (SK) Raja Abdullah, Melor.

“Sekarang kami masih menggunakan beras yang disumbangkan orang ramai ketika melawat ibu meninggal.

“Enam adik lain juga akan makan pagi di sekolah masing-masing apabila menerima bantuan makanan harian RM5, termasuk Rancangan Makanan Tambahan (RMT).

“Jiran dan cikgu yang simpati dengan keluarga kami juga turut membantu, selain menerima wang belanja dari abang untuk membeli barang dapur setiap Khamis,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Lengkuas, Kota Bharu, hari ini.

Mikyal berkata, dia terpaksa melupakan cita-cita untuk menjadi guru demi menjaga keluarganya, walaupun mendapat keputusan lulus dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) tahun lalu.

“Abang nak kerja tetap, tapi dia terpaksa berulang-alik urus adik yang bersekolah, manakala saya pula perlu mengurus hal di rumah. Mujur jiran dan saudara-mara banyak bantu kami.

“Setiap malam, saya sentiasa fikir macam mana masa depan kami adik-beradik.

“Apa yang menyedihkan, sehingga kini, adik bongsu masih menangis pada waktu malam sebelum tidur kerana merindui ibu,” katanya.

Terdahulu, lapan beradik yatim piatu itu menerima kunjungan 22 kakitangan syarikat MISG Global Sdn Bhd yang menyampaikan bantuan makanan, barangan keperluan harian dan tilam kepada mereka.

Sementara itu, Pengurus Bahagian Pentadbiran MISG Global, Norasyikin Norazainan berkata, pihaknya akan membantu anak yatim piatu itu termasuk mencarikan pekerjaan tetap kepada abang sulung mereka yang menjadi tulang belakang keluarga.

“Sebelum ini kami ada menawarkan beberapa pekerjaan, namun ditolak Zulkarnain kerana dia perlu menguruskan hal persekolahan adik setiap hari, selain faktor jarak tempat kerja jauh,” katanya.

Sesiapa yang ingin membantu anak yatim piatu itu boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Mikyal Mohd Bahkrudin yang bernombor 03014-41-000-12368-6.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2019 @ 12:13 AM