SUSPEK ditahan PPM dalam Op Gelora Khas. FOTO ihsan PPM
Abdul Rahemang Taiming


SEBUAH bot jongkong asing ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) selepas disyaki membawa masuk pelbagai barangan tanpa kelulusan Jabatan Kastam di kawasan perairan Batu 3, Tawau, malam tadi.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, bot jongkong itu ditahan melalui Op Gelora Khas selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan jam 10.30 malam.

Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati seorang juragan bersama pembantunya masing-masing berumur 32 dan 19 tahun berada di atas bot jongkong dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Selepas diperiksa, bot jongkong itu didapati membawa pelbagai barangan dipercayai cuba diseludup masuk untuk dipasarkan di daerah ini.

“Antara barangan itu ialah pop ice pelbagai perisa, Gold Bell Grand, petis udang, abon sapi Rajawali, Citarasaku (Balado) dan kertas rokok cap Dollar.

“Selain itu, pelbagai makanan seperti keropok Blinjo, Frambozen, kicap ABC, jelly powder nutrigel pelbagai perisa dan empat tong gas petroleum cecair (LPG) tidak berisi turut dirampas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM209,934 tidak termasuk cukai kastam.

“Kedua-dua suspek ditahan dan kes diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2019 @ 9:06 AM