Hafidzul Hilmi Mohd Noor


POLIS menerima 209 laporan berhubung kenyataan jelik yang dibuat pemilik akaun Facebook (FB) ‘Sabah Sarawak Merdeka’ terhadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, akaun FB berkenaan sudah disekat dan tidak lagi boleh diakses.

“Orang ramai dinasihatkan tidak menyebar atau berkongsi tangkap layar jelik yang dibuat pemilik akaun berkenaan melalui apa jua rangkaian.

“Posting berkenaan berupaya menimbulkan provokasi keterlaluan dan boleh menjejaskan ketenteraman awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad Fuzi berkata, usaha untuk mengenalpasti dan mengesan pemilik akaun berkenaan sedang dipertingkatkan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 iaitu kesalahan melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut.

“Jika disabitkan kesalahan, individu itu boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyalahgunakan media sosial atau mana-mana rangkaian komunikasi untuk membuat sebarang bentuk provokasi yang boleh menggugat ketenteraman awam dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2019 @ 10:58 AM