X
KAWASAN tapak pembinaan Projek ECRL di Jalan Kuala Krai, Bandar Baru Tunjung, Kota Bharu. FOTO Syamsi Suhaimi
KAWASAN tapak pembinaan Projek ECRL di Jalan Kuala Krai, Bandar Baru Tunjung, Kota Bharu. FOTO Syamsi Suhaimi
Muhamaad Razis Ismail


KERAJAAN Kelantan melihat Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan memberi impak yang besar kepada majoriti rakyat di negeri ini.

Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata, projek itu mampu membuka peluang pekerjaan menerusi pelbagai bidang yang berkaitan dengan pembinaan dan pengangkutan.

Katanya, ia juga langkah positif dalam merancakkan ekonomi negeri dengan kemudahan pengangkutan yang lebih cekap dan mampu menguruskan transaksi barangan yang bervariasi serta berskala besar.

“Pihak Kerajaan Kelantan merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan di atas persetujuan membangunkan ECRL di Kelantan.

“Sebagaimana dimaklumkan bahawa dua stesen akan dibangunkan di negeri ini iaitu stesen Kota Bharu dan Tok Bali.

“Secara langsung ia akan merubah landskap keusahawanan menjadi lebih kondusif dan kompetetif untuk semua warga Malaysia,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasminya hari ini.

Beliau berkata, sekiranya kewujudan ECRL ini diurus dengan baik dan mengikuti piawaian sebenar, ia akan memberi Malaysia satu lagi kemudahan bertaraf antarabangsa.

“Projek ini dapat memacu negara ini menjadi sebuah negara yang membangun dengan pesat setanding dengan negara maju yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan Kerajaan Persekutuan yang akan meneruskan ECRL dengan kos pembinaan sebanyak RM44 bilion.

Jabatan Perdana Menteri dilaporkan berkata, kos pembinaan fasa 1 dan 2 ECRL itu berjaya dikurangkan sebanyak RM21.5 bilion berbanding kos asalnya pada RM65.5 bilion.

Pengurangan kos itu dicapai selepas Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) memeterai Perjanjian Tambahan (SA) dengan China Communications Construction Company Ltd (CCCC).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2019 @ 11:43 AM