BURUNG terlindung yang dirampas. FOTO ihsan PPM
Nurul Amanina Suhaini


CUBAAN menyeludup keluar 970 ekor pelbagai spesis burung dilindungi ke negara jiran berjaya dipatahkan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Pengerang selepas melakukan serbuan di Pantai Kampung Simon, Teluk Ramunia, Johor Bahru, malam tadi.

Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, suspek sempat melarikan diri sebaik melihat anggota dan pegawai PPM.

Katanya, burung terlindung jenis Murai Kampung diisi ke dalam 97 kotak dirampas dalam serbuan yang dijalankan jam 11.30 malam.

“Bertindak atas maklumat orang awam dan intipan yang dilakukan, PPM Wilayah Dua Pengerang dengan kekuatan lima anggota digerakkan ke lokasi berkenaan.

“Hasil siasatan mendapati sekumpulan lelaki menggunakan sebuah kenderaan dilihat memunggah kotak ke tepi pantai untuk dipindahkan ke dalam bot, dipercayai diseludup ke negara jiran.

“Apabila pasukan kami menghampiri mereka, suspek melarikan diri dengan memecut kenderaan serta meninggalkan semua burung di dalam kotak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Paul Khiu berkata, barang rampasan dibawa ke Markas Taktikal PPM Wilayah Dua Pengerang untuk tindakan lanjut.

“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM29,100 dan kes disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2019 @ 12:52 PM