DR Sahruddin bersama Osman ketika sidang media di Pejabat PH. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Izlaily Nurul Ain Hussein


MENTERI Besar Johor, Dr Sahruddin Jamal akan melakukan rombakan barisan Exco Kerajaan Negeri dalam masa terdekat susulan pelantikannya untuk meneraju kepimpinan baharu negeri ini, pagi tadi.

Beliau berkata, walaupun tempoh lazim bagi rombakan Exco selepas pelantikan Menteri Besar baru boleh dibuat dalam masa 14 hari, namun beliau akan cuba untuk melaksanakannya dalam masa terdekat.

“Memang apabila berlaku perubahan pucuk pimpinan, memang akan ada perubahan portfolio. Datuk Osman Sapian (bekas Menteri Besar Johor) ada pasukan dia, saya ada pasukan saya. Jadi, saya akan memilih Exco yang saya selesa bekerja.

“Apa yang penting, sekarang kita mahu membantu masyarakat dan memastikan masyarakat mendapat segala kemudahan yang kita rancang sebelum ini,” katanya pada sidang media yang diadakan sejurus beliau mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor, hari ini.

Sidang media pertama beliau selaku Menteri Besar Johor ke-17 diadakan di Ibu Pejabat Pakatan Harapan (PH) Negeri Johor, hari ini.

Turut hadir, bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian; Timbalan Presiden PH Johor merangkap Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Johor, Aminolhuda Hassan.

Pada masa sama, Dr Sahruddin berkata, selepas tamat istiadat angkat sumpah pagi tadi, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menitahkan supaya beliau memastikan nasib rakyat lebih terbela.

“Tuanku ingin memastikan bahawa apabila menjadi pemimpin, jadilah pemimpin yang amanah dan berintegriti, memastikan nasib masyarakat lebih terbela,” katanya.

Berita berkaitan

Dr Sahruddin sah Menteri Besar ke-17 Johor [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2019 @ 1:11 PM