MUHAMMAD Faris Izhar fasih berbahasa Arab hasil berguru dengan pelancong Timur Tengah. FOTO/ Bernama
BERNAMA

SEBAIK pelancong dari negara Timur Tengah tiba di restoran BC Nuri Floating, remaja berusia 14 tahun ini menyambut mereka dalam bahasa Arab.

Seterusnya, dia rancak memberi penerangan mengenai ikan serta hidupan laut lain di sangkar ikan dan restoran terapung itu.

Kefasihan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Hangat, Muhammad Faris Izhar Mat Yusof berbahasa Arab mengujakan pengunjung dari Timur Tengah.

Tambahan pula, loghat Arabnya begitu baik, semuanya hasil usaha keras sejak lebih setahun lalu.

Berkongsi kemahiran itu kepada Bernama, Muhammad Faris berkata, pada awalnya sebelum bekerja di sangkar ikan dan restoran terapung berkenaan, dia sering mengikut bot pelancong yang membawa pengunjung ke lokasi di Tanjung Rhu itu.

“Apabila kawan-kawan pemandu bot pelancong bercakap dengan pengunjung dari Timur Tengah, saya dengar dan hafal setiap perkataan. Kemudian bila mula bekerja di sini kira-kira setahun lalu, saya belajar pula daripada kawan sekerja khususnya mengenai jenis ikan seperti ikan kerapu dan siakap putih yang ada di sangkar ini dalam bahasa Arab.

“Kemahiran itu diasah lagi menerusi perbualan dengan pelancong. Contohnya, ada jenis atau nama ikan tidak sama mengikut negara di Timur Tengah, di Arab Saudi lain, di Oman pula lain.

“Jadi saya belajar pula daripada pelancong setiap nama ikan itu mengikut sebutan di negara mereka. Saya salin setiap maklumat dalam buku nota kecil dan hafal,” katanya yang bekerja secara sambilan di lokasi terbabit selepas waktu persekolahan.


REMAJA ini asyik memberi penerangan mengenai jenis ikan kepada pelancong asing. FOTO/ Bernama

Lebih setahun tidak jemu belajar memperbaiki kemahirannya, Muhammad Faris yang bekerja untuk membantu keluarganya kini mampu tersenyum.

Tanpa pendidikan formal, bahasa Arabnya semakin baik hasil perbualan ketika melayan pelancong.

“Saya ambil masa antara enam hingga tujuh bulan untuk faham setiap perkataan seterusnya memahirkan diri semasa bertutur. Minat serta keperluan untuk memudahkan kerja menguatkan hati saya terus belajar.

“Ada juga bahagian yang agak sukar tetapi saya berpegang kepada niat kalau betul-betul minat insya-Allah boleh,” katanya yang juga fasih bertutur bahasa Inggeris.

Dia mengakui, kefasihannya itu membuatkan pelancong dari Timur Tengah lebih mesra ketika berbual.

“Ada juga pelancong yang terkejut saya lancar bercakap dalam bahasa Arab. Seterusnya perbualan atau penerangan saya jadi lebih mudah kerana sudah berjaya pikat hati mereka,” kata anak bongsu daripada enam beradik ini.

Video kefasihan remaja yang berasal dari Kampung Pasir Hitam ini bertutur dalam bahasa Arab tular baru-baru ini, membuatkan remaja ini sedikit teruja.

“Setiap kali nak datang kerja, emak saya (Habshah Hassan) hantar menggunakan motosikal hingga ke Jeti Tanjung Rhu.

“Selepas video itu tular emak cakap bangga dengan saya, di sekolah rakan dan guru pun puji, mereka ucapkan tahniah, guru pun beri dorongan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2019 @ 1:14 PM