MOHD Amirul Aizat bersama ibu dan adiknya. FOTO Syamsi Suhaimi
Siti Nor Hidayatidayu Razali


DEMI menjaga ibu yang kurang upaya dan tiga adik, Mohd Amirul Aizat Mohd Usok mengambil keputusan berhenti sekolah untuk mengambil alih tugas arwah bapanya sebagai pencari nafkah keluarga.

Mohd Amirul Aizat yang kini berusia 20 tahun berhenti sekolah ketika di tingkatan empat demi memberi laluan kepada dua adik meneruskan pelajaran.

Dia membanting tulang bekerja sebagai tukang paip dengan gaji antara RM40 hingga RM45 sehari.

Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, selepas bapanya, Mohd Usok Ismail, 69, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan meninggal dunia lima tahun lalu akibat asma kronik, dia mengambil alih tugas menjadi ketua keluarga.

“Selepas ayah tiada, saya mengambil keputusan berhenti sekolah ketika di tingkatan empat kerana hilang tempat bergantung dan ibu pula tidak bekerja.

“Saya bekerja sebagai tukang paip untuk menyara ibu dan tiga adik. Alhamdulillah walaupun gaji kecil, namun saya boleh menanggung perbelanjaan keperluan harian dan sekolah dua adik.

“Ibu juga memperoleh bantuan RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang sedikit sebanyak meringankan beban kami,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Mek Mas, Kuala Besar, Kota Bharu.

Menurutnya, ibunya, Kamariah Mohd Zain, 51, yang menghidap penyakit kencing manis terpaksa menjalani pembedahan memotong kaki kiri sehingga paras lutut Oktober tahun lalu.

“Selepas pembedahan itu, ibu tidak mampu berjalan dan perlu menggunakan kerusi roda untuk bergerak.

“Sebagai anak sulung, saya sanggup berkorban apa saja demi ibu dan pelajaran adik-adik,” katanya.

Orang ramai boleh memberi sumbangan melalui akaun 0310041000188610 Bank Simpanan Nasional (BSN) atas nama Kamariah Mohamed Zin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2019 @ 2:43 PM