Tertuduh didenda RM3,000 selepas merosakkan peti besi milik sebuah masjid. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply


LELAKI dijatuhi hukuman denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini kerana merosakkan peti besi milik sebuah masjid membabitkan kerugian RM600.

Bukan itu saja tertuduh, Mohd Hari Mohd Hashin, 38, turut berdepan hukuman penjara enam bulan jika gagal menjelaskan denda.

Keputusan itu dibuat Majistret Noor Mazrinie Mahmood selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat harta benda.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sengaja merosakkan peti besi tabung Masjid Gelugor Haji Tahir, Chabang Tiga dekat sini yang menyebabkan kerugian RM600 antara 1 tengah hari hingga 8 malam 20 Februari lalu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Ka Full manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, kejadian hanya disedari Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Zakaria Awang selepas mendapati peti besi di ruang sembahyang muslimah terbuka.

Pemeriksaan mendapati terdapat kesan umpilan dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan kelibat seorang lelaki sedang melakukan perbuatan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2019 @ 3:32 PM