AHLI keluarga memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Muhammad Nazrin Tarmidi sebelum diterbangkan pagi ini dari Lapangan Terbang Sandakan ke Negeri Sembilan. FOTO Ihsan APMM.
Hazsyah Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


SEORANG anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sandakan maut dalam kemalangan di Jalan Beluran-Telupid, berhampiran simpang Ladang Berkat Setia, Beluran, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, Laskar Kelas Satu Maritim, Muhammad Nazrin Tarmidi, 26, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di badan.

Difahamkan, mangsa yang memandu Perodua Myvi dalam perjalanan dari arah Telupid menuju ke Sandakan bersama lima penumpang iaitu isteri dan anak serta tiga lagi anak saudaranya.

Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi, kenderaan mereka bertembung dengan sebuah lori 10 tan menyebabkan mangsa tersepit di bahagian pemandu sebelum dikeluarkan oleh sepasukan anggota bomba.

Mangsa lain yang berusia lingkungan antara dua hingga 20-an dilaporkan cedera ringan selepas dikeluarkan oleh orang awam dan bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Beluran, Rastam Keladi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.08 petang dan seramai lapan anggota bersama sebuah jentera dikejar ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba mendapati satu kemalangan jalan raya membabitkan lori bertembung dengan sebuah Perodua Myvi yang dinaiki enam individu.

“Anggota bomba mengeluarkan pemandu yang tersepit sebelum disahkan meninggal dunia. Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, difahamkan jenazah diterbangkan dari Lapangan Terbang Sandakan ke Negeri Sembilan sebelum dikebumikan di Gemas di tempat kelahiran beliau, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2019 @ 3:53 PM