Mohamad berbual bersama peniaga dan pengunjung pasar. FOTO Ihsan Tok Mat
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


DATUK Seri Mohamad Hasan meluangkan masa 30 minit bertemu orang ramai di Pasar Rantau hari ini selepas memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau semalam.

Kehadiran Mohamad 9 pagi disambut mesra peniaga dan pengunjung yang dikenalinya sejak dulu lagi.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu sempat berbual dan bertanya khabar sebelum ucapan tahniah dizahirkan terhadapnya atas kemenangan dalam PRK terbabit.

Mohamad berkata, beliau hadir untuk beramah mesra dan menzahirkan penghargaan atas sokongan yang diberikan.

Katanya, beliau tidak menjangka meraih kemenangan selesa apatah lagi Pakatan Harapan (PH) berkempen dengan jentera yang besar.

“Sepanjang berkempen, saya selalu cakap peluang untuk menang 50/50 dan kita tidak mahu cepat selesa dengan laporan BN akan menang.

“Jika diamati, ramai menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Presiden PKR turun berkempen di Rantau. Saya yakin pengundi ada pendirian dan membuat keputusan sebelum penamaan calon lagi,” katanya.

Menurut Mohamad, beliua sama sekali tidak menjangkakan menang besar dan pada mulanya meramal menang majoriti bawah 2,000 undi.

Dalam keputusan PRK semalam, Mohamad memperoleh 10,397 undi menewaskan calon PKR, Dr S Streram meraih 5,887 undi manakala dua calon bebas, Mohd Nor Yassin dan R Malarvizhi masing-masing 79 dan 83 undi.

Mohamad dijangka mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam sesi pertama Persidangan DUN Negeri Sembilan minggu depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2019 @ 5:26 PM