Hanneeyzah Bariah Baharin
hanneeyzah@nstp.com.my


KERAJAAN perlu membayar penalti tinggi kepada China jika projek mega Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) tidak diteruskan.

Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin berkata, keputusan kerajaan meneruskan projek itu akan memberi manfaat ekonomi bukan saja kepada usahawan tempatan tetapi juga kontraktor tempatan.

Katanya, beliau mendapat maklum balas sangat baik daripada warga Pantai Timur selepas mengumumkan keputusan kerajaan meneruskan projek kontroversi itu.

“Satu daripada konsesi paling penting yang memihak kepada kita ialah penyertaan kontraktor tempatan dalam pembinaan ECRL akan meningkat kepada 40 peratus daripada keseluruhan kerja awam 30 peratus.

“Selain itu industri sampingan seperti inap desa, kedai makan dan runcit dan lain-lain pasti akan berkembang dengan projek ECRL ini dan kita harap usahawan besar dan kecil dapat mencari inisiatif merebut lebih banyak peluang,” katanya.

Beliau turut mengesahkan Terengganu adalah sebahagian daripada projek mega itu sekali gus menafikan dakwaan sesetengah pihak kerajaan meminggirkan Terengganu daripada projek itu dengan jajaran baru.

Katanya, Terengganu tidak mungkin dipinggirkan daripada pembangunan projek berkenaan kerana secara logiknya negeri itu adalah sebahagian daripada Pantai Timur.

“Kalau Terengganu tak masuk dalam projek ECRL ini bukan projek Pantai Timur lah namanya,” katanya ketika menjawab soalan seorang hadirin pada program Bicara Darul Iman di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu hari ini.


TUN Daim (kanan) bersama Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. FOTO Imran Makhzan

Mengulas lanjut Daim berkata, rakyat Terengganu tidak akan ketinggalan daripada menikmati kemudahan pengangkutan kereta api laju itu malah penggunanya akan menikmati kadar tambang bersubsidi jauh lebih murah daripada kos sebenar.

“Kita bina ECRL untuk kemudahan rakyat, jadi mesti harga tiketnya bersubsidi sama seperti KTM (Keretapi Tanah Melayu Berhad).

“Dulu bila kita buat kajian, kadar tambangnya RM500 untuk ke Kuala Lumpur. Saya kata kalau begitu lebih baik naik kapal terbang. Jadi tambangnya memang akan diberi subsidi,” katanya.

Sementara itu mengulas mengenai kekalahan PH pada pilihan raya kecil (PRK) Rantau, Daim berkata, rakyat perlu memberi masa kepada kerajaan yang perlu menyelesaikan banyak isu terutama membabitkan ekonomi negara.

“Rakyat selalu tidak sabar. Mereka mahu perubahan dengan cepat. Selepas mengambil alih, kerajaan PH memerlukan masa untuk tahu kedudukan ekonomi dan kewangan dan tengoklah sekarang dah keluar macam-macam cerita mengenai (salah urus) Tabung Haji, FELDA dan lain-lain.

“Rakyat mahu kerajaan pentingkan ekonomi tetapi kerajaan (berdepan) banyak masalah,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan memerlukan sekurang-kurangnya enam bulan lagi untuk memenuhi janji manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Bagi kerajaan enam bulan. Saya bukan kerajaan, saya bagi pandangan mewakili rakyat saja.

“Saya rasa kerajaan berkeupayaan untuk melakukannya. Rakyat ini bukan susah, kalau kerajaan tak boleh buat, beritahu kenapa tak boleh buat. Kalau boleh buat sudah tentu kerajaan akan buat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2019 @ 8:25 PM