FOTO Destination NSW
Suliati Asri

PERSIS bermandikan gemerlapan cahaya lampu dengan kemeriahan malam penuh warna-warni, cukup membuatkan mata tidak berkelip ditambah pula elemen kejutan menggabungkan pelbagai aspek.

Itulah yang pastinya dirasai saat mengunjungi kota Sydney, Australia sempena Festival Vivid Sydney 2019 yang bakal berlangsung pada 24 Mei hingga 15 Jun ini di Harbour City.

Ini adalah festival cahaya, muzik dan idea terbesar di Hemisfera Selatan yang berinovasi dan kreativiti dengan acara yang menginspirasikan, menghimpunkan artis-artis cahaya, penggubah muzik dan individu hebat untuk menonjolkan Sydney sebagai hab industri kreatif Asia Pasifik.

Tahun ini, Vivid Sydney lebih menarik kerana ia bukan saja memasuki tahun kesebelas penganjurannya malah lebih berani, menarik dan menawarkan sesuatu yang istimewa untuk setiap orang sepanjang 23 malam penganjurannya.

Antaranya laluan cahaya menyaksikan lebih 50 karya bersinar diaturkan dalam galeri luar yang terbesar seumpamanya di Hemisfera Selatan sepanjang lebih tiga kilometer.

Argyle Cut in The Rocks dalam senarai warisan Sydney dengan unjuran cahaya kreatif untuk Pixar: 30 years of Art and Animation, akan membawa pesta visual bagi karya seni di belakang tabir serta evolusi animasi ikonik dari Pixar Animation Studios melalui gandingan kesukaan ramai, Woody dan Buzz Lightyear dari Toy Story.


FOTO Destination NSW

Karya seni bercahaya yang memantulkan serta membiaskan cahaya dan juga alam semula jadi yang boleh dilihat secara dekat di Taman Botani Diraja Sydney, sememangnya cukup mengagumkan. Firefly Field membabitkan 500 titik cahaya terbang yang mensimulasikan tarian balet udara, pasti menakjubkan.

Vivid Music juga membawa pengunjung menyoroti budaya muzik secara langsung di bandar ini dengan membawa masuk persembahan luar negara yang berpengaruh selain memberi tumpuan kukuh terhadap bakat tempatan.

Menerusi Vivid Ideas pula, program bengkel kreatif dan perbincangan dengan pemikiran kreatif juga pasti memberikan banyak idea baharu.


FOTO Destination NSW

Menambahkan lagi keterujaan dan keseronokan ialah menaiki Vivid Cruise untuk melihat lampu dan pemasangan dari atas air. Vivid Climb pula mendaki BridgeClimb untuk untuk melihat panorama malam menerusi pemandangan mata burung dari puncak Sydney Harbour Bridge.

Sydney tidak hanya terkenal dengan bangunan pencakar langit tatkala malam mahu pun siang tetapi pantainya juga menggamit pengunjung.

Suasana dan memeriahkan gaya hidup pantai yang unik, mudah diakses serta kafe dan restoran dengan dekorasi menarik yang memenangi banyak anugerah di pelabuhan, pasti mengujakan pengunjung.


FOTO Destination NSW

Mendekatkan diri dengan kehijauan alam semula jadi dan pemandangan mempesona di Blue Mountains pasti tidak tergambar dengan kata-kata.

Bagi yang inginkan pengembaraan dan berinteraksi dengan hidupan liar yang unik, Port Stephens adalah destinasinya. Jangan lepaskan peluang melintasi bukit pasir pantai yang terbesar di hemisfera selatan menggunakan ATV atau penjelajahan dengan pacuan empat roda (4WD) dan menunggang unta di sepanjang pantai saat matahari terbenam.

Pengalaman melihat ikan lumba-lumba bebas bermain di lautan dengan mengikuti pelayaran dan melawat ikan jerung Irukandji serta Ray Encounters membuatkan kunjungan ke Sydney dan New South Wales sesuatu yang sukar untuk dilupakan.


FOTO Destination NSW

Bagi pengunjung yang ingin melihat ikan paus di Sydney, perjalanan di Port Stephens atau Jervis Bay adalah lokasi utama. Kunjungan terbaik sekitar akhir Mei, bertepatan dengan tarikh acara Vivid Sydney kerana masa itu juga adalah penghijrahan ikan paus bermula.

Puas menjelajah, nikmati keenakan makanan laut yang segar di Sydney Fish Market iaitu pasar makanan laut terbesar di hemisfera selatan.

Kunjungan ke pasar hujung minggu seperti The Rocks Markets, Carriageworks Farmers Market dan Bondi Markets tawar pelbagai produk, seni, kraftangan dan aksesori tempatan.


FOTO Balloon Aloft

Hunter Valley juga destinasi yang mesti dikunjungi dek kepelbagaian aktiviti menarik yang ditawarkan. Di sini, melihat pemandangan ladang anggur dari penerbangan belon udara panas yang mempesona.

Hasil gourmet seperti keju, coklat dan minyak zaitun juga antara hasil tempatan yang harus dibeli untuk di bawa pulang.

Ingin merasai sendiri suasana malam penuh bercahaya disamping pelbagai aktiviti menarik lain yang menanti? AirAsia menawarkan harga tiket yang sangat berbaloi.

Tiket bernilai RM499 bagi penerbangan sehala ditawarkan khusus buat pemegang kad keahlian BIG manakala penerbangan Premium Flatbed sehala, harga promosi adalah RM1,890.

Lengkap dengan tiket penerbangan, bilik hotel untuk 5 hari 4 malam (hotel dari RM169 semalam) dan tax dengan harga dari RM1,799 setiap seorang sememangnya sangat berbaloi.

Promosi ini sah sehingga 19 Mei 2019 dan tarikh penerbangan bermula dari sekarang hingga 2 Jun 2020. Layari airasia.com untuk maklumat lanjut.


FOTO Destination NSW

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 10:01 AM