Nor Azmi (dua dari kanan) menunjukkan 72 botol air ketum yang dirampas daripada seorang lelaki di rumahnya. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin


KEGIATAN lelaki sehingga memperoleh pendapatan lumayan dengan memproses dan menjual air ketum di sekitar Sabak Bernam sejak dua tahun lalu berakhir apabila diberkas polis Jumaat lalu.

Difahamkan, penganggur berusia 30 tahun itu mampu menjual 35 botol air ketum dengan menjana keuntungan RM525 sehari.

Namun, ia berjaya dihidu sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam di sebuah rumah di Bagan Sungai Pulai, Sekendi, Sungai Besar 3.51 petang.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Nor Azmi Isa berkata, ketika serbuan suspek sedang menunggu pelanggan dan terkejut apabila menyedari kehadiran polis.

“Hasil pemeriksaan di dapur rumah membawa kepada penemuan 72 botol air berisi air ketum.

“Semua air ketum itu berjumlah 108 liter dengan setiap satunya mempunyai isi padu 1.5 liter,” katanya pada sidang media di IPD Sabak Bernam hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek memperoleh bekalan daun ketum yang dibeli daripada penjual pada harga antara RM8 hingga RM10 di Teluk Intan, Perak.

“Air ketum itu diproses sendiri di rumahnya sebelum diletakkan ke dalam tong ikan untuk dijual kepada pelanggan.

“Kita percaya air itu untuk pasaran sekitar Sabak Bernam namun ada pelanggannya juga datang dari Kuala Selangor,” katanya.

Nor Azmi berkata, suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

“Sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara

tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 4:07 PM