Ketidakhadiran Tun pada PRK Rantau tidak perlu dispekulasikan. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my


ISU Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak turun membantu kempen calon Pakatan Harapan (PH) Dr S Streram pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau minggu lalu tidak perlu diperbesarkan.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata, Dr Mahathir yang juga Pengerusi PH turut membantu beberapa siri PRK sebelum ini.

“Tun M (Dr Mahathir) tak datang di Sungai Kandis dan beberapa PRK lain, tetapi beliau turun ke Cameron Highlands dan Semenyih bagi membantu kempen.

“Walaupun beliau tidak turun (ke Rantau), tetapi saya sendiri, Azmin (Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali), Mukhriz (Timbalan Presiden BERSATU, Mukhriz Mahathir turun.

“Mat Sabu (Presiden AMANAH, Mohamad Sabu) dan pemimpin DAP pun turun. Ketidakhadiran Tun M tidak perlu dispekulasikan kerana kekuatan PH masih padu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penutup Pertandingan Debat Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2019 Piala Datuk Menteri Besar Selangor di Universiti Selangor (UNISEL) di Bestari Jaya hari ini.

Sebelum ini, Dr Streram mengharapkan Dr Mahathir turun berkempen di PRK Rantau.

Amirudin berkata, semua pihak perlu memahami tugas berat yang dipikul Dr Mahathir bagi memulihkan ekonomi negara.

“Tun M ada keutamaannya, semua tahu Tun M sedang kerja keras memulihkan negara. Kita dapat lihat pendedahan dalam isu FELDA serta pelbagai masalah lain lagi,” katanya.

PRK Rantau pada Sabtu lalu menyaksikan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hassan berjaya mempertahankan kerusi yang dimenanginya sebelum ini.

Timbalan Presiden UMNO itu yang memenangi kerusi DUN Rantau sejak 2004, memperoleh 10,397 undi daripada 56 saluran, mengatasi tiga pencabarnya dengan majoriti 4,510 undi.

Pesaing terdekat bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu, Dr S Streram daripada PKR mewakili Pakatan Harapan (PH), mendapat 5,887 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 4:33 PM