PEMILIK bot, Norazlan Satiman menunjukkan lokasi terakhir yang dihantar salah seorang rakannya selepas bot dinaiki mereka mengalami kerosakan kira-kira 0.3 batu nautika dari selatan Tanjung Mahang, Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang. FOTO Faliq Lajim
Iskandar Shah Mohamed dan Faliq Lajim


OPERASI mencari dan menyelamat empat lelaki termasuk dua beradik yang hilang ketika merawai ikan kira-kira 0.3 batu nautika dari selatan Tanjung Mahang, Pelabuhan

Barat, Klang di sini, disambung esok.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, bot gentian kaca berkenaan dinaiki Mohd Faisol Romle, 38, dan adiknya, Muhammad Firdaus, 25, selain Nazaruddin Isa, 48, Mohd Amirul Adli Khairi, 25.

Bagaimanapun, bot itu mengalami kerosakan pada bahagian enjin dan mereka gagal dikesan

sehingga kini.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Klang, Samsol Maarif Saibani berkata, pihaknya mengerakkan operasi pencarian bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Pasukan Polis Marin (PPM) sejak jam 8 pagi tadi.

“Kami setakat ini belum mempunyai sebarang maklumat atau tanda bot berkenaan karam dan percaya ia hanyut bersama semua mangsa yang masih selamat.

“Operasi pencarian diteruskan dan kami turut sudah memaklumkan kepada nelayan setempat

supaya memaklumkan kepada pihak berkuasa jika menemui bot itu atau mangsa,” katanya.

Samsol berkata, pihaknya akan membuka pos kawalan 24 jam di Jeti Nelayan Sungai Kembong, Pulau Indah dan operasi yang tamat pada jam 6.30 petang tadi akan disambung semula esok.

Sementara itu, pemilik bot berkenaan, Norazlan Satiman, 41, berkata semua mangsa turun ke laut untuk merawai ikan, kira-kira 9.30 malam kelmarin (Sabtu).

“Pada awalnya, semua berjalan lancar dan mereka ada menghantar pesanan WhatsApp kepada saya memaklumkan sudah berada di laut kira-kira jam 12 tengah malam.

“Namun, kira-kira jam 6 pagi semalam (Ahad) mereka memberitahu bahawa enjin bot itu rosak dan saya kemudian meminta supaya berkongsi lokasi untuk bantuan lanjut.

“Mereka bagaimanapun gagal dikesan dan kami cuba menghubungi telefon bimbit mereka tetapi tidak berjawab,” katanya ketika ditemui di jeti itu, hari ini.

Sementara itu, adik kepada pasangan beradik yang hilang, Shuhada, 29, kedua-dua abang dan adik lelakinya itu kebiasaannya pergi memancing secara beramai-ramai.

“Namun, kami sekeluarga terkejut apabila mengetahui mereka berdua kali ini hanya pergi tidak ramai.

“Kali terakhir abang Faisol menghubungi isterinya pada jam 12 tengah malam kelmarin dan

menghantar gambarnya berada di atas bot itu,” katanya yang bimbang dengan keadaan dua beradik itu dan mendoakan keselamatan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 7:26 PM