Senapang angin dan peluru yang dirampas daripada dua lelaki. FOTO Ihsan PDRM
Nur Izzati Mohamad


DUA lelaki bukan saja khayal dadah namun menyimpan dua laras senapang angin bersama 2,000 butir peluru buatan sendiri ketika mereka ditahan dalam serbuan di sebuah stor dekat Jalan Berapit, Bukit Mertajam semalam.

Difahamkan, hasil maklumat dan risikan, polis menyerbu stor itu 12.30 tengah hari dan melihat kedua-dua lelaki berusia 30 dan 34 tahun duduk di kerusi menghadap meja leka menghisap dadah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pemeriksaan di stor menemui dadah jenis methamphetamine, dua pucuk senapang angin dan 2,000 butir peluru buatan sendiri.

“Siasatan awal, polis percaya senjata itu digunakan untuk kegiatan jenayah namun kita masih menyiasat perkara ini.

“Dua suspek itu dipercayai ada kepakaran membuat senapang angin berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, polis masih menjalankan siasatan sama ada senapang angin itu turut dijual kepada pembeli lain.

“Ujian saringan air kencing terhadap suspek warga tempatan dan seorang warga Myanmar itu mendapati mereka positif dadah.

“Mereka berdua yang mempunyai rekod jenayah lampau kini direman empat hari bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama serta Seksyen 6 Akta Bahan Hakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 8:12 PM