NAJIB hadir semula ke mahkamah selepas berhenti rehat bagi perbicaraan atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Murni Wan Omar dan Sarah Zulkifli


EMPAT fail mengandungi maklumat akaun Ambank milik bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak antara yang dirampas oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bagi tujuan siasatan.

Perkara itu diberitahu Pengurus BNM, Azizul Adzani Abdul Ghafar saksi pendakwaan kedua, ketika memberi keterangan dalam perbicaraan kes tujuh pertuduhan yang dihadapi Najib, 66, membabitkan dana SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Menurutnya, ia adalah antara lapan fail yang dirampas ketika membuat penggeledahan di Ambank cawangan Raja Chulan, Kuala Lumpur pada 6 Julai 2015.

“Saya mendapat arahan daripada pegawai penyiasat untuk pergi ke premis bank itu untuk mendapatkan senarai akaun berhubung obligasi pelaburan (tuduhan berkaitan pelaburan). Ia bagi membantu siasatan yang disyaki dilakukan mengikut akta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA). Saya pergi ke sana bersama tiga yang lain pegawai lain.

“Saya menemui Pengurus Cawangan Ambank, R Uma Devi dan memaklumkan senarai akaun yang diperlukan BNM untuk siasatan. Beliau mendapatkan semua dokumen itu dan apabila memperolehnya saya mencatatkan ke dalam senarai geledah,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Suhaimi Ibrahim.

Azizul Adzani memberi keterangan pada hari kedua dalam perbicaraan tujuh pertuduhan terhadap Najib membabitkan dana SRC International Snd Bhd.

Menurutnya, antara yang dirampas adalah tiga fail akaun membabitkan SRC dan satu akaun membabitkan Syarikat Gandingan Mentari Sdn Bhd.

Sementara itu, peguam Harvinderjit Singh memohon supaya prosiding ditangguhkan sebentar bagi membolehkan pihak pembelaan meneliti dan menyusun semula lapan dokumen itu.

Mahkamah kemudian menangguhkan prosiding perbicaraan lebih sejam.

Apabila prosiding bersambung, Timbalan Pendakwa Raya Datuk V Sithambaram memaklumkan kepada mahkamah pihaknya memerlukan masa untuk membuat salinan kesemua dokumen itu.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengingatkan supaya perkara ini tidak berlaku lagi dan prosiding perbicaraan ditangguhkan jam 9 pagi esok.

Pendakwaan diketuai oleh Peguam Negara Tommy Thomas dan dibantu Ishak Mohd Yusoff, Donald Joseph Franklin, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi, Budiman Lutfi Mohamed, Sulaiman Kho Kheng Fuei, Mohd Ashrof Adrin Kamarul dan Muhammad Izzat Fauzan.

Najib diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah serta dibantu Farhan Read, Wan Aizuddin Wan Mohammed, Rahmat Hazlan, Muhammad Farhan Shafee, Tiara Katrina Fuad, Nur Syahirah Hanapiah dan Zahria Eleena Redza.

Najib, mengaku tidak bersalah akan dibicarakan atas tujuh pertuduhan merangkumi kesalahan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram.

Ia adalah sebahagian daripada 42 pertuduhan dihadapi oleh Najib yang sudah enam kali dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan yang sama tetapi dana berbeza.

Najib didakwa pada 4 Julai tahun lalu atas tiga tuduhan pecah amanah dan satu tuduhan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Pada 8 Ogos 2018 pula, beliau dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah dan dari dana sama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 9:55 PM