Empat pemancing yang hilang sejak semalam selepas bot dinaiki mengalami kerosakan pulang dengan selamat. FOTO Ihsan Bomba
Faliq Lajim
am@hmetro.com.my


EMPAT lelaki termasuk dua beradik yang hilang ketika merawai ikan 0.3 batu nautika dari selatan Tanjung Mahang, Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang pulang dalam keadaan selamat.

Mereka iaitu Mohd Faisol Romle, 38, dan adiknya, Muhammad Firdaus, 25, serta Mohd Amirul Adli Khairi, 25, dan Nazaruddin Isa, 48, tiba di pos kawalan pencarian di Jeti Sungai Kembong 8 malam ini.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Klang Samsol Maarif Saibani berkata, pihaknya melihat sebuah bot menghampiri pos kawalan itu yang dibuka 24 jam.

“Empat lelaki yang menaiki bot itu kemudian mengaku mereka adalah pemancing yang hilang sejak semalam selepas enjin bot dinaiki gagal berfungsi.

“Semua mangsa tiba dalam keadaan selamat namun keadaan lemah kerana tidak makan dalam tempoh lebih 24 jam.

“Mereka kemudian diserahkan kepada waris masing-masing,” katanya.

Samsol Maarif berkata, berdasarkan keterangan seorang mangsa, bot dinaiki mereka hanyut ke kawasan lain sebelum ditemui nelayan di Pulau Ketam.

“Nelayan itu kemudian membantu semua mangsa dengan menunda bot berkenaan sebelum membeli bateri baharu dan bergerak pulang ke Jeti Sungai Kembong.

“Operasi pencarian ditamatkan 8.08 malam,” katanya.

Sementara itu, adik kepada Mohd Faisol, Shuhada, 29, berkata, dia sekeluarga bersyukur apabila adik serta abangnya sudah ditemui.

“Alhamdulillah, mereka semua selamat. Abang memberitahu enjin bot mereka tidak boleh dihidupkan yang menyebabkan bot dihanyutkan ke tengah laut sebelum dijumpai nelayan.

“Terima kasih saya ucapkan kepada bomba yang menggerakkan operasi pencarian bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Polis Marin (PPM),” katanya.

Berita berkaitan

Operasi cari empat lelaki hilang sambung esok

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 9:57 PM