KOMPLEKS Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Murni Wan Omar dan Sarah Zulkifli
murni@hmetro.com.my


PENOLONG Pendaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Muhamad Akmaludin Abdullah mengesahkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, bahawa saham SRC International Sdn Bhd tidak dimiliki oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bagaimanapun, Muhamad Akmaludin, 35, berkata, beliau tidak mempunyai pengetahuan peribadi berhubung perkara itu sebaliknya ia berdasarkan pelbagai dokumen yang dikemukakan oleh syarikat itu kepada SSM.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Suhaimi Ibrahim dalam perbicaraan kes tujuh pertuduhan yang dikenakan terhadap bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak membabitkan dana SRC International Sdn Bhd.

SUHAIMI: Setiap tahun berapa syarikat yang didaftarkan?

AKMALUDIN: Terdapat berjuta-juta syarikat.

SUHAIMI: Dalam keadaan demikian, boleh kamu mempunyai pengetahuan khusus berhubung syarikat yang didaftar?

AKMALUDIN: Tidak.

SUHAIMI: Apabila dirujuk pelbagai dokumen membabitkan SRC dan keterangan kamu, ia bukan dari pengetahuan peribadi kamu sendiri?

AKMALUDIN: Tidak.

Menjawab soalan peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib, beliau mengesahkan bahawa SRC ditubuhkan pada 7 Januari 2011.

HARVINDERJIT: Pada tarikh SRC ditubuhkan saham syarikat itu tidak dimiliki oleh 1MDB?

AKMALUDIN: Ya.

HARVINDERJIT: Semua peruntukan dalam dokumen menunjukkan ia tidak dimiliki oleh 1MDB?

AKMALUDIN: Ya betul.

HARVINDERJIT: Dalam resolusi syarikat, saham SRC dipegang oleh Nik Faisal Ariff Kamil serta Vincent Koh Beng Huat?

AKMALUDIN: Ya betul.

HARVINDERJIT: Semua keputusan berhubung pelaburan syarikat terletak kepada lembaga pengarah.

AKMALUDIN: Betul.

HARVINDERJIT: (Merujuk kepada dokumen) Pada tarikh 15 Ogos 2011, digambarkan bahawa pemilik SRC adalah 1MDB Energy Sdn Bhd manakala wakil syarikat ketika itu adalah Datuk Shahrol Azral Ibrahim Hilmi?

AKMALUDIN: Ya benar.

HARVINDERJIT: Syarikat 1MDB tidak pernah digambarkan sebagai pemilik syarikat SRC International?

AKMALUDIN: Ya benar.

HARVINDERJIT: Maklumat berhubung pengeluaran saham SRC kepada 1MDB hanya masuk ke dalam rekod SSM pada 24 Oktober 2011?

AKMALUDIN: Ya benar.

HARVINDERJIT: (Merujuk dokumen SRC) Resolusi berhubung pengeluaran 999,998 saham SRC kepada syarikat 1MDB Energy dalam mesyuarat diadakan oleh pemegang saham SRC pada 15 Ogos 2011.

AKMALUDIN: Ya betul.

HARVINDERJIT: Sebelum tarikh 24 Oktober 2011, dalam rekod SSM tidak ada tunjuk siapa pegang saham SRC?

AKMALUDIN: Ya betul.

HARVINDERJIT: (Merujuk kepada dokumen) Pada bila-bila masa tidak ada orang lain selain Nik Faisal dan Koh yang menjadi pengarah SRC?

AKMALUDIN: Tidak ada.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram membantah permohonan Harvinderjit yang meminta Muhamad Akmaludin mengemukakan tiga dokumen baru dalam kes itu.

Pada tarikh lalu, Harvinder ada meminta Muhamad Akmaludin membuat carian berhubung Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M), dan butiran berhubung syarikat SRC.

Sithambaram berkata, mahkamah perlu meneliti sama ada dokumen itu boleh diterima dan relevan untuk dikemukakan bagi tujuan menyoal balas saksi.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali memutuskan bahawa kedua-dua pihak perlu meneliti dokumen itu terlebih dahulu.

Selepas meneliti dokumen itu, Sithambaram memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan tidak membantah terhadap dokumen terbabit.

Najib, 66, didakwa atas tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salah guna kedudukan dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 10:33 PM