GAMBAR hiasan
Siraj Mohd Zaini


WANITA warga Indonesia ditemui maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 15 sebuah pangsapuri di Seksyen 32, Shah Alam, hari ini.

Dalam kejadian 2.23 petang itu, mangsa dikenali sebagai Sariyanty Tanjung, 30, terjatuh dari tingkap bilik tidurnya dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, tiada saksi melihat kejadian itu dan siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dan bedah siasat dijalankan esok pagi.

“Kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Baharudin berkata, dua individu dipercayai mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, individu berkenaan adalah Lim Ah Pheow, 53 dan Liaw Hock An, 48.

“Selain itu, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan pegawai penyiasat, Inspektor Nurul Nabilah di talian 013-7488968 atau 03-55202222,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 10:54 PM