DUA remaja perempuan yang dilaporkan hilang sejak Ahad lalu ditemui selamat, petang semalam.


DUA remaja perempuan, Natshatra Navanita, 15, dan Divyaa Munian, 16, yang dilaporkan hilang sekitar 11.40 malam Ahad lalu, dijumpai dalam keadaan selamat oleh ibu saudara seorang daripada mereka.

Difahamkan, remaja berkenaan ditemui di Stesen Komuter Batu 3, dekat Shah Alam, pada 2.30 petang semalam sebelum dibawa ke rumah ibu saudaranya di Sungai Buloh.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, remaja berkenaan dikatakan melarikan diri kerana tidak berpuas hati dengan ibunya.

“Kedua-dua mangsa dijumpai ibu saudara di Stesen Komuter Batu 3 pada 2.30 petang tadi dan dibawa ke rumah wanita itu di Sungai Buloh.

“Wanita itu membawa gadis berkenaan ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya pada 7.30 malam tadi.

“Punca mereka melarikan diri kerana tidak berpuas hati dengan ibunya,” katanya ketika dihubungi.

Media sebelum ini melaporkan dua gadis berkenaan kali terakhir dilihat berdekatan dengan Kondominium Maxwell Towers di Gasing Indah, Petaling Jaya.

Berita kehilangan mereka turut di laman sosial selepas ibu kepada Natshatra Navanita memuat naik perkara itu kerana bimbang keselamatan anaknya.

Sebelum hilang, kedua-dua gadis itu pergi ke kuil di sekitar rumahnya di Maxwell Towers untuk meraikan sambutan Chitthirai Puthandu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2019 @ 12:27 AM