ANGGOTA bomba menyelamatkan dua beradik yang sesat selama lima jam selepas mendaki Bukit Pelindung di Kuantan, malam tadi. FOTO ihsan bomba.
Shahrinnahar Latib
am@hmetro.com.my

DUA beradik yang melakukan aktiviti riadah menggunakan laluan hutan di Bukit Pelindung, Kuantan, petang semalam berdepan pengalaman menakutkan apabila mereka gagal mencari jalan keluar selepas sesat hampir lima jam.

Mangsa, Norfarah Hana Derahman, 22, dan kakaknya, Norul Baiyah Derahman, 29, dikatakan masuk ke hutan berkenaan pada 5 petang namun tidak keluar meskipun hari semakin gelap.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang lelaki memaklumkan ada dua wanita hilang dan tidak dapat dikesan ketika melakukan aktiviti riadah di Bukit Pelindung.

“Kami menggerakkan operasi mencari kedua-dua mangsa itu dan berdasarkan keterangan saksi, mangsa datang ke Bukit Pelindung pada 5 petang dan mula memasuki laluan hutan pada 5.30 petang.

“Ahli keluarga sudah dimaklumkan dan cuba menelefon mangsa dan menghantar mesej menggunakan aplikasi WhatsApp namun gagal dihubungi,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Persatuan Hiking Pahang, anggota polis dan ahli keluarga mangsa turut sama dalam usaha mencari kedua-dua adik beradik itu.

Menurutnya, pada 10.20 malam, pihak polis dimaklumkan kedua-dua mangsa dijumpai dalam keadaan lemah dan letih.

“Mangsa tidak cedera dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk mendapat rawatan lanjut.

“Siasatan lanjut mendapati dua beradik itu kali pertama ke kawasan berkenaan dan mereka ada membawa telefon bimbit, namun lokasi mangsa sesat tidak mempunyai liputan talian telefon.

“Justeru, orang ramai yang ingin melakukan aktiviti riadah di kawasan ini dinasihatkan melakukannya secara berkumpulan dan tidak terlalu lewat petang bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2019 @ 12:36 AM