SEBAHAGIAN pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan Jabatan Imigresen di sekitar Alor Setar, petang semalam. FOTO ihsan Jabatan Imigresen.
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


LIMA pekerja warga asing ditahan Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah kerana tidak memiliki sebarang dokumen selain melanggar syarat pas lawatan dengan bekerja secara tidak sah di negara ini.

Mereka ditahan dalam operasi Ops Bersepadu di premis perniagaan di sekitar bandar Alor Setar bermula 2.56 petang hingga 4.45 petang semalam.

Pengarah JIM Kedah, Zuhair Jamaludin berkata, operasi disertai tujuh anggota dari Bahagian Penguatkuasaan JIM Kedah berdasarkan maklumat dan pemeriksaan dilakukan.

Beliau berkata, seramai 23 pekerja warga asing dari pelbagai negara diperiksa dalam operasi itu, namun hanya lima daripadanya ditahan.

“Seorang daripadanya lelaki warga Myanmar, seorang lelaki warga Thailand dan tiga wanita warga Indonesia yang berusia antara 21 hingga 43 tahun.

“Mereka ditahan mengikut Seksyen 6(1) c Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) iaitu tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah dan Perkara 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat Pas lawatan dengan bekerja secara tidak sah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zuhair berkata, mereka ditahan di lokap Bangunan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Alor Setar untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum diserah ke Depot Imigresen Belantik di Sik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2019 @ 12:55 AM