ANNE bersama ibu dan ayah serta keluarga menerima Diploma Perakaunan di Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Mara Kampus Samarahan.
Norsyazwani Nasri


KOTA SAMARAHAN: Kejayaan Anne Henry Gaweng, 23, meraih Diploma Perakaunan pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak Kampus Samarahan, semalam mencatat sejarah tersendiri apabila muncul antara etnik Orang Ulu dari Belaga di pedalaman Sarawak yang berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti.

Anak pesara guru itu berkata, bukan mudah untuk mencapai kejayaan itu berbanding mereka yang tinggal di bandar kerana di kawasan pedalaman masih serba kekurangan dengan kemudahan pembelajaran.

“Bagi saya kejayaan hari ini hadiah yang cukup istimewa kepada keluarga kerana berkat doa dan dorongan mereka saya dapat mencapai kejayaan ini.

“Saya berharap kejayaan ini menjadi contoh buat masyarakat Orang Ulu di kampung saya untuk menyambung pengajian lebih tinggi,” katanya ketika ditemui selepas majlis itu, semalam.

Bagi meraikan hari istimewa itu, Anne turut diiringi bapanya, Gaweng Isang, 63, dan ibu, Josephine Saging, 54, serta ahli keluarga lain yang datang dari kampung.

Mengulas lanjut, Anne berkata, dia sedar bapa dan ibunya datang daripada latar belakang keluarga susah manakala neneknya hanya petani sepenuh masa membuatkannya bersemangat untuk mengubah nasib keluarga.

“Pada mulanya saya patah hati untuk menyambung pengajian tetapi selepas dipujuk ibu dan keluarga, saya kuatkan kembali semangat.

“Selepas ini, saya merancang untuk menyambung pelajaran ke peringkat ijazah Sarjana Muda juga dalam bidang perakaunan,” katanya.

Sementara itu, Nur Khairina Khairul Hisham, 23, dari Kuching yang menerima Diploma Ukur Bahan berkata, dia memilih untuk menyambung pengajian dalam bidang itu kerana begitu meminati bidang itu.

Katanya, ibu dan bapanya yang terbabit dalam bidang perniagaan kontraktor mendorongnya untuk mengikuti jejak langkah mereka.

“Selepas ini saya merancang melanjutkan pengajian dalam bidang sama dan apabila tamat belajar nanti mahu membantu ayah dan ibu menjalankan perniagaan mereka,” katanya.

Konvokesyen UiTM Cawangan Sarawak kali ini menyaksikan seramai 406 orang graduan menerima ijazah Sarjana Muda manakala 925 graduan lagi menerima diploma.

Majlis penyampaian ijazah dan diploma kepada graduan disempurnakan Pro Canselor UiTM, Tan Sri Zarinah Anwar dan Rektor UiTM Cawangan Sarawak, Prof Datuk Dr Jamil Hamali.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2019 @ 6:01 AM