KELUARGA Orang Asli suku Batek selesa tinggal di khemah di tepi Sungai Pertam, Kuala Koh.
Ramli Ibrahim


GUA MUSANG: Sejak minggu lalu, 150 Orang Asli di Kampung Kuala Koh di sini yang menghidap penyakit kulit berpindah ke dalam hutan dan menghuni khemah sementara di tepi sungai.

Difahamkan, keputusan tinggal di kawasan itu kerana tidak tahan dengan cuaca panas, malah mereka memilih membina khemah sendiri di tepi Sungai Pertam, dekat Aring.

Penduduk kampung itu, Yahya Ong, 35, berkata, penyakit kulit dihidapi menyebabkan mereka tidak tahan dengan cuaca panas dan memilih tepi sungai dan hutan yang lebih redup.

“Bukan sahaja kami orang dewasa terasa pedih apabila kulit terdedah panas, tetapi kanak-kanak juga yang kerap menangis kerana tidak tahan sakit.

“Sehingga kini, tinggal antara lima dan tujuh keluarga sahaja di kampung berkenaan dan kebanyakan penduduk lain sudah pindah ke kawasan lebih selesa buat sementara waktu.

“Meskipun lokasinya jauh dan perlu jalan kaki tiga kilometer dari rumah, mereka sanggup demi keselesaan dan mahu mengawal jangkitan daripada jadi lebih serius,” katanya ketika ditemui, semalam.

Yahya berkata, dia tiga kali dijangkiti penyakit kulit bersisik dan gatal sejak empat bulan lalu serta menyapu pelbagai ubat, tetapi tidak banyak berubah.

PONDOK dan khemah yang didirikan 150 penduduk Orang Asli dalam hutan.

Mamat Pokok, 28, pula berkata, penduduk berpindah ke tepi sungai hanya sementara sahaja dan tetap pulang semula apabila cuaca panas reda.

Katanya, sekurang-kurangnya mereka yang dijangkiti penyakit itu berendam dalam sungai tiga kali sehari.

“Walaupun kami tinggal secara terbuka dalam bangsal dan khemah di tepi sungai, tetapi kami jaga kesihatan terutama tidur dalam kelambu elak digigit nyamuk,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2019 @ 7:00 AM