Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

KEMENTERIAN Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan meneliti laporan diberikan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berhubung keadaan 97 jentera JBPM atau Fire Rescue Tender (FRT) yang ‘tersadai’ akibat kerosakan.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, kementerian sedang menunggu laporan yang akan diberikan Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid dan akan meniliti permasalahan itu sebelum mengambil tindakan drastik.

Menurutnya, jentera berkenaan adalah penting kepada JBPM dalam memberi khidmat kepada masyarakat dan justeru itu tindakan untuk memperbaikinya akan dilakukan dengan secepat mungkin.

“Dalam masa yang sama kita akan turut meneliti semula laporan-laporan berkaitan termasuklah isu-isu sekiranya ada pembabitan individu (dalam pembelian jentera itu), salah guna kuasa dan sebagainya.

“Jika benar perkara ini berlaku (salah guna kuasa) serta kegagalan vendor atau pembekal membekalkan alat ganti kepada jentera-jentera yang rosak, KPKT akan membuat laporan kepada pihak berkuasa untuk disiasat dan diambil tindakan sewajarnya,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja meninjau Pasar Awam Taiping, hari ini.

Menurut Zuraida, JBPM sudah membentangkan permohonan belanjawan untuk tahun hadapan yang diperlukan jabatan itu dan KPKT sudah meneliti permohonan itu serta meluluskannya.

Harian Metro semalam melaporkan kegagalan pembekal menyediakan reka bentuk dan pemasangan peralatan mengikut spesifikasi sepatutnya dipercayai punca utama jentera pemadam kebakaran JBPM yang dibeli pada 2007, 2010 dan 2014 ‘tersadai’.

Untuk rekod, perolehan 242 jentera JBPM atau FRT bagi ketiga-tiga tahun itu membabitkan nilai RM420 juta.

Malangnya, hampir 40 peratus atau 97 jentera JBPM bernilai RM165 juta di seluruh negara terutama Selangor kini mengalami kerosakan pada putaran rotor di bahagian batang pemanduan (drive shaft) dan sistem sadap kuasa atau power take off (PTO) menyebabkan jentera gagal berfungsi.

Berita berkaitan:

  • https://www.hmetro.com.my/utama/2019/04/444852/jentera-bomba-cap-ayam-metrotv
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2019 @ 3:50 PM