Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my


DUA pekerja kedai runcit warga Indonesia dijatuhi hukuman denda RM100,000 oleh Mahkamah Majistret Klang, hari ini, atas pertuduhan memiliki ratusan paket rokok seludup pelbagai jenama, Jumaat lalu.

Majistret Muhammad ‘Azzam Zainal Abidin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Ridhwan, 31, dan Munzir, 22, mengaku salah atas pertuduhan berasingan dikenakan terhadap mereka.

Mereka yang berasal dari Aceh, Indonesia, turut diperintahkan penjara selama enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Selain itu, kedua-dua tertuduh perlu membayar duti import masing-masing berjumlah RM1,232 dan RM1,726 kepada Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Jika gagal, Ridhwan berdepan tambahan penjara sebulan manakala Munzir dikenakan hukuman penjara tambahan dua bulan.

Mengikut pertuduhan, Ridhwan didakwa memiliki barangan larangan import iaitu 341 paket rokok pelbagai jenama bernilai RM622.40 yang mana ia adalah dilarang pengimportannya mengikut Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.

Munzir pula didakwa turut melakukan kesalahan sama dengan memiliki 513 paket rokok pelbagai jenama bernilai RM1,046.16.

Perbuatan itu masing-masing dilakukan di dua kedai runcit berasingan di Taman Sri Andalas pada jam 3.50 petang dan 4 petang, Jumaat lalu.


RIDHWAN (kanan) dan Munzir dijatuhi hukuman denda RM100,000 selepas mengaku salah memiliki rokok seludup. FOTO Roslin Mat Tahir

Justeru, mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 ganda nilai atau RM100,000 (yang mana lebih tinggi) dan denda tidak lebih 20 ganda nilai suapan atau RM500,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding, Muhammad ‘Azzam memerintahkan semua rokok dilucut hak dan diserahkan kepada JKDM bagi pelupusan.

“Selain itu, kedua-dua tertuduh dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia selepas selesai menjalani hukuman penjara,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JKDM, Nurafifah Abd Hamid manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2019 @ 4:38 PM