Siti Maznah, ibu kepada Mohammad Ashraf. FOTO Arkib NSTP
Mohd Hafizee Mohd Arop dan Balqis Jazimah Zahari
am@hmetro.com.my


“SAYA minta sangat rakyat Malaysia semua sekali, selepas 9 malam ini, tolong sedekah Ayat Kursi untuk Mohammad Ashraf, saya minta sangat, cukuplah itu saja yang saya minta,” kata Siti Maznah Khamis, 58, ibu kepada Mohammad Ashraf Hassan, 29.

Menurut Siti Maznah, dia kini menyerahkan kepada ketentuan Allah untuk mempertemukan anaknya itu selepas semua pihak sudah berusaha dan berhempas pulas dalam usaha mencari Mohammad Ashraf.

“Meredah hutan belukar, menuruni sungai, melalui bukit, gua semua sekali, cukup dah, kita rasa usaha itu sangat-sangat besar untuk mencari anak saya, selebihnya berserah kepada Allah.

“Di mana noktahnya itu hanya Allah yang tahu, kita memang tiada daya dan tidak tahu noktahnya di mana, kita akan terus berdoa,” katanya ketika ditemui selepas menerima lawatan Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin di pusat operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Kampung Pintu Padang di Gopeng, hari ini.

Menurut Siti Maznah, Mohammad Ashraf atau lebih mesra dengan panggilan Acap adalah anak yang baik dan menghormati ibu bapa serta ahli keluarga yang lain.

Katanya, kehilangan anaknya itu adalah ujian serta dugaan kepada keluarganya dan mereka menerima perkara itu dengan hati terbuka.

“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua rakyat yang membantu mencari anak saya, kepada agensi mencari dan menyelamat serta sukarelawan.

“Orang kata mereka adalah pejuang tidak didendang tapi saya akan dendangkan mereka dengan doa,” katanya.

Ketika ditanya mengenai dakwaan netizen di laman sosial kononnya Acap didakwa pernah hilang beberapa kali sebelum ini, Siti Maznah berkata, anaknya itu tidak pernah hilang dan sudah mengikuti pelbagai aktiviti lasak termasuk di Lombok, Indonesia.

Sementara itu, bapa tiri Acap, Sukar Rashid, 57, turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu dalam usaha pencarian itu dan jasa mereka tidak mampu dibalas olehnya.

Menurutnya, bagi pihak keluarga, dia turut mengucapkan terima kasih kepada pegawai dan anggota JBPM Perak yang menyediakan tempat tinggal kepada mereka sepanjang usaha pencarian Ashraf.

Berita berkaitan

[UPDATE] 'Saya yakin suami pulang dengan selamat

[UPDATE] Aishah rindu daddy...

[UPDATE] Acap terus dijejaki

Operasi besar-besaran cari Acap [METROTV]

‘Tiada petunjuk baharu’

‘Tunjukkan lokasi Acap di Johor’

18 hari dah Acap...

Acap di Johor?

Tepati syariat dalam pencarian Acap - Mufti

Penganjur nafi hebah ops cari Acap [METROTV]

Semoga Acap cepat ditemui

Ambil tindakan penyebar kenyataan palsu Acap

Tiada ganjaran pencarian Acap

’Acap...mak kat sini...balik nak’ [METROTV]

Tiada petunjuk, SAR Acap dihentikan

Rakan yakin Acap selamat

Peserta hilang ketika larian

’Baliklah Acap, mak masak asam pedas...’

Masih tiada petunjuk pencarian Acap

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2019 @ 5:38 PM