LEE (lima dari kiri) ketika menghadiri Majlis Dialog Bersama Kakitangan Kesihatan di Dewan Majlis Perbandaran Dungun. FOTO Rosli Ilham


USAHA kerajaan melaksanakan larangan merokok di tempat makan dijangka mencapai matlamat berikutan perkembangan positif ditunjukkan perokok di negara ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, perkembangan positif itu jelas dilihat berikutan hasil pemantauan dilakukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di kedai makan dan restoran di seluruh negara.

Beliau berkata, walaupun pelbagai cabaran ditempuh anggota penguat kuasa sejak pelaksanaan larangan diperkenalkan pada 1 Januari lalu, KKM menerima maklum balas positif dalam kalangan perokok sejak kebelakangan ini.

“Penghargaan patut diberi kepada penguat kuasa kita. Memang ada berlaku pertengkaran antara perokok dan pegawai penguat kuasa tetapi sepanjang empat bulan menjalankan aktiviti pendidikan, kita melihat ada perkembangan positif ditunjukkan perokok.

“Kita akan teruskan aktiviti pendidikan ini hingga akhir Jun sebelum penguatkuasaan sepenuhnya dimulakan Julai nanti,” katanya selepas Majlis Dialog Bersama Kakitangan Kesihatan di Dewan Majlis Perbandaran Dungun, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak dan Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Mohd Jusoh.

Dalam perkembangan sama, Lee berkata, pihaknya akan mengkaji semula kekuatan anggota penguat kuasa yang akan menjalankan penguatkuasaan pada 1 Julai ini.

“Kita ada 5,000 anggota penguat kuasa di seluruh negara, namun mengakui belum mencukupi dan mereka (anggota penguat kuasa) sedia ada akan bekerja lebih masa.

“Tujuan kita bukan untuk saman, namun bertujuan memberi pendidikan kepada perokok untuk tidak merokok di premis makanan dan melindungi orang awam terutama bukan perokok daripada terdedah bahaya asap rokok,” katanya.

Menurutnya, semua lapisan masyarakat perlu menerima pelaksanaan larangan merokok ke arah positif dalam usaha meningkatkan tahap kesihatan dan menjadikan rakyat sebagai masyarakat bertamadun dan maju menjelang 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2019 @ 5:42 PM