Dr Xavier Jayakumar melihat jerat dawai yang dirampas pada sidang media kejayaan PERHILITAN menahan pemburu haram. Turut kelihatan Ketua Setiausaha Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli, Datuk Zurinah Pawanteh (dua dari kiri), Ketua Pengarah PERHILITAN, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim (kanan) serta Pegawai Penguat kuasa PERHILITAN, Hamidi Jamalidin (kiri) di Putrajaya. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Siti A’isyah Sukaimi


JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) menumpaskan sindiket pemburuan haram dengan penangkapan dua warga Vietnam di Hulu Sungai Tersat, Taman Negara Terengganu semalam membabitkan nilai rampasan kira-kira RM600,000.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, kedua-dua suspek berusia 25 dan 29 tahun itu ditahan dalam operasi Ops Belang dijalankan pasukan taktikal khas PERHILITAN kira-kira jam 6.45 pagi.

Katanya, antara hasil ditemui ialah bahagian harimau (kuku dan taring harimau belang), barangan disyaki bahagian beruang (hempedu, taring dan kuku), bahagian disyaki babi hutan selain hidupan liar lain serta peralatan memburu.

“Semua barang kes berkenaan disita dan dibawa ke Pejabat PERHILITAN untuk tindakan lanjut manakala, sitaan turut membabitkan pasport serta telefon bimbit milik suspek.

“PERHILITAN juga akan menjalankan ujian forensik asid deosiribonukleik (DNA) terhadap semua barang kes yang disita dalam mengesahkan spesies hidupan liar dan keputusannya mengambil masa tiga hari,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah PERHILITAN, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim.

Dalam pada itu, Dr Xavier berkata, berdasarkan rekod dokumen perjalanan, kedua-dua suspek sudah berada di negara ini kira-kira lima bulan.

Katanya, mereka direman tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Enakmen Taman Negara Terengganu kerana menceroboh Taman Negara dan disiasat kerana memburu serta menyimpan hidupan liar tanpa kebenaran PERHILITAN di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Suspek juga disiasat mengikut Seksyen 29 Akta 716 kerana memiliki jerat.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya percaya ada lagi dua suspek masih bebas namun tidak dapat dipastikan, sama ada di hutan berkenaan atau sebaliknya.

Bagaimanapun, Dr Xavier menolak pembabitan rakyat tempatan dalam sindiket itu berdasarkan situasi suspek yang langsung tidak boleh bertutur bahasa lain selain bahasa Vietnam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, modus operandi pemburu haram itu ialah menggunakan jerat dawai dipasang di laluan hidupan liar.

Katanya, penjenayah dipercayai berjaya menjerat hidupan liar menggunakan jerat dawai yang dipasang dan sekurang-kurangnya dua harimau belang, dua harimau kumbang, tiga beruang dan 12 babi hutan berjaya dijerat.

“Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli amat serius dalam memastikan hidupan liar terpelihara dan tidak mengalami kepupusan terutamanya membabitkan Harimau Malaya.

“Pada masa kini, terdapat kurang daripada 200 Harimau Malaya di hutan seluruh Semenanjung Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2019 @ 6:47 PM