Dr Shahrom ketika hadir untuk inkues menentukan punca kematian Muhammad Adib di Kompleks Mahkamah Shah Alam. FOTO Sairien Nafis
Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my


ANGGOTA bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim berkemungkinan dalam keadaan separa sedar ketika ditarik keluar dari van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang dinaikinya ketika rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, pada 27 November tahun lalu.

Prof Dr Shahrom Abd Wahid memberi keterangan itu ketika disoal balas Pegawai Pengendali Inkues, Hamdan Hamzah pada hari ke-27 prosiding inkues menentukan penyebab kematian Muhammad Adib, 24, di hadapan Koroner Rofiah Mohamad.

Bekas Pakar Perunding Kanan Forensik dan Patologi Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (sebelum ini dikenali sebagai Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia) itu berkata, dalam kejadian rusuhan berkenaan, arwah kemungkinan terkejut dengan serangan ataupun mangsa mengalami kesakitan yang teramat sangat.

Katanya, keadaan separuh sedar yang mungkin dihadapi arwah ketika ditarik keluar pada malam kejadian itu boleh merangsang saraf vagus dan mempercepatkan degupan jantung mangsa.

HAMDAN: Ketika dia (Muhammad Adib) ditarik, mangsa sedar?

DR SHAHROM: Arwah mungkin separa sedar diri ketika ditarik, namun untuk meronta lawan tidak boleh.

HAMDAN: Tiada reaksi (Muhammad Adib)?

DR SHAHROM: Tiada

HAMDAN: Ketika ditarik, bolehkah geseran berlaku bawah punggung dan kaki seluar?

DR SHAHROM: Boleh

HAMDAN: Tambahan dalam keadaan itu, adakah kotoran debu yang boleh melekat pada seluar mangsa?

DR SHAHROM: Ya, ada.

Dalam prosiding itu, Dr Shahrom yang juga saksi ke 29 inkues itu turut mengesahkan ada kesan geseran pada seluar celoreng yang dipakai Muhammad Adib pada insiden rusuhan kuil itu.

“Jika dilihat pada bahagian punggung seluar ini, benangnya berbulu-bulu dan ada yang putus menunjukkan tanda jelas diseret,” katanya.

HAMDAN: Mangsa adalah ahli bomba dan sihat. Dia ada ruang untuk selamatkan diri, tetapi dalam teori Prof ini, mangsa seolah-olah tidak bertindak.

DR SHAHROM: Pada pendapat saya, dia tak menjangka dia akan diserang pada malam itu. Dia ingat tiada apa-apa (berlaku) terhadap dirinya kerana kemungkinan untuk bomba diserang adalah tiada. Namun, tiba-tiba orang ini yang merentap mangsa.

Sebelum sesi soal balas itu bermula, peguam Syazlin Mansor yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mencadangkan supaya Pakar Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi yang duduk bersama Pegawai Pengendali Inkues itu berpindah di galeri awam.

“Dalam prosiding lalu, saksi dilihat mencadangkan soalan kepada Pegawai Pengendali Inkues dan perkara itu sepatutnya tidak berlaku kerana Dr Ahmad Hafizam adalah saksi inkues.

“Jika saksi hadir duduk di sini (meja Pengendali Inkues ) untuk pemerhatian, kami tiada apa-apa halangan,” katanya.

Bagaimanapun, Hamdan berhujah perkara seperti didakwa Syazlin itu tidak berlaku dan hanya dia memberikan soalan.

Rofiah kemudian membenarkan Dr Ahmad Hafizam yang juga saksi ke-24 inkues itu duduk bersama Pegawai Pengendali Inkues dan mengekalkan kedudukannya serta tidak mencadangkan soalan kepada Pegawai Pengendali Inkues.

Muhammad Adib, yang juga anggota van EMRS Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di IJN.

Prosiding inkues bersambung petang hari ini.

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2019 @ 7:05 PM