ANGGOTA APM berjaya menangkap ular tedung selar yang memasuki rumah penduduk di Kampung Terbak, Siong, hari ini. FOTO ihsan APM.
Safuri Kamarudin


“MUJURLAH kucing menjadi penyelamat apabila membuat bising selepas menyedari seekor ular tedung selar masuk ke dalam rumah,” kata Mohd Hamdan Mohd Yatim.

Mohd Hamdan, 32, dari Kampung Terbak, Siong, Baling berkata, mereka terkejut apabila seekor ular tedung melingkar di bawah meja ketika ahli keluarganya sedang tidur, pada 4 petang hari ini.

Katanya, apabila ternampak ular tedung di bawah meja dan berdengus, dia terus menghubungi talian 999 dalam keadaan cuaca hujan dan guruh.

“Masa itu tak rasa takut kilat lagi, malah sangat bimbang keselamatan kami apabila ular berada di bawah meja.

“Mujurlah ibu, Azizah Harun, 63, tersedar dari tidur dan bergegas bangun untuk menyelamatkan diri kerana ular itu hampir dengannya,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan pada 4 petang dan bergegas ke lokasi 10 minit kemudian.

Beliau berkata, empat anggota mengambil masa 25 minit untuk menangkap ular tedung selar yang menyorok di bawah meja.

“Ular itu agak agresif, tetapi kecekapan anggota dan menggunakan peralatan khas dapat menangkap ular itu dengan selamat.

“Ular sepanjang lima meter itu keluar dari hutan berdekatan dipercayai untuk mencari makanan.

“Saya menasihatkan orang ramai yang terserempak dengan ular berbisa segera menghubungi APM di talian 04-4701626 atau talian kecemasan 999,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2019 @ 7:27 PM