SUSPEK direman empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan. FOTO
Hanneeyzah Bariah Baharin


KEGIATAN licik seorang lelaki yang kerap mencuri akhirnya tumpas apabila dia ditahan ketika mencuri sehelai seluar jeans di pasar raya di Gong Badak, Kuala Nerus di Kuala Terengganu, kelmarin.

Dalam kejadian 2.45 petang itu, cubaan suspek berusia 20-an bersama dua lagi rakannya yang masih bebas, mencuri seluar jeans berharga RM119 disedari pengawal keselamatan.

Sumber berkata, sebelum kejadian, suspek dilihat memasuki pasar raya berkenaan dengan membawa beg pinggang bersama dua lagi rakannya.

Katanya, suspek memasukkan seluar jeans berkenaan ke dalam beg pinggang itu sebelum keluar dari pasar raya berkenaan tanpa membuat bayaran.

“Pengawal keselamatan yang mencurigai suspek sejak awal kemudian cuba menahan ketiga-tiga suspek, namun mereka pantas melarikan diri.

“Pengawal keselamatan yang terus mengejar suspek akhirnya berjaya menahan lelaki itu di luar pasar raya berkenaan, bagaimanapun dua lagi rakannya berjaya melarikan diri,” katanya.

Menurut sumber, siasatan lanjut, suspek turut mengaku mencuri lima unit pengecas mudah alih dari kedai komputer berhampiran pasar raya lain, kira-kira 1.10 petang hari sama.

Katanya, suspek mengaku mencuri ‘power bank’ berharga RM99 dan melakukan perbuatan itu bersama dua lagi rakannya yang masih bebas.

“Kakitangan kedai komputer berkenaan ada membuat laporan di Balai Polis Gong Badak selepas menyedari kehilangan barangan itu daripada premis mereka.

“Lelaki itu juga mengaku mencuri dua botol minyak wangi jenama Dexandra di kiosk minyak wangi di pasar raya di Gong Badak pada 9 April lalu,” katanya.

Sementara itu di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini, Penolong Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Kuala Terengganu, Wan Aziantie Ab Karim @ Isa membenarkan suspek direman empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2019 @ 8:18 PM