LELAKI kurang siuman parah pada mulut dan lidah akibat terkena renjatan elektrik. FOTO Ihsan Pembaca
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


LELAKI kurang siuman parah pada mulut dan lidah akibat terkena renjatan elektrik ketika memanjat tiang elektrik dan mengusik kotak kuasa tiang berkenaan di Kampung Ulu Pauh, Arau, petang hari ini.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof berkata, kejadian 2.30 petang itu disedari seorang kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang melakukan pemeriksaan rutin.

“Kakitangan berusia 32 tahun itu mendapati perkakas dan kotak kuasa elektrik di tiang elektrik terbabit terbakar dan berbau hangus.

“Bagaimanapun, seorang awam memaklumkan kepada kakitangan TNB itu ada seorang lelaki kurang siuman sudah memanjat tiang berkenaan dan mengusik kotak kuasa elektrik di tiang itu.

“Ketika sedang leka mengusik, kotak (kuasa elektrik) itu meletup dan menyambar muka lelaki berusia dalam lingkungan 50-an sehingga mulut dan lidahnya terkoyak,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, lelaki kurang siuman itu kemudian ditemui kakitangan TNB berkenaan tidak jauh dari lokasi tiang elektrik berkenaan.

“Kakitangan itu membawa mangsa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar bagi mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2019 @ 8:38 PM