GAMBAR hiasan
Mohd Sabran Md Sani


BUDAK berusia 12 tahun dan bapa saudaranya ditahan selepas dipercayai aktif melakukan kegiatan pecah dan curi tabung derma masjid di sekitar Batu Pahat.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim berkata, kedua-dua suspek terbabit ditahan di Kluang Sabtu lalu, berikutan aduan diterima polis membabitkan kegiatan didalangi mereka.

Katanya, polis menerima aduan berkaitan kes pecah tabung dan kecurian duit derma di sebuah masjid di sekitar Parit Sulong, Batu Pahat, pada 13 April lalu.

“Bertindak atas maklumat yang diperoleh, polis berjaya menangkap lelaki berusia 36 tahun dan anak saudara lelakinya berusia 12 tahun yang menetap di Kluang.

“Hasil soal siasat, suspek mendedahkan kegiatan mereka terbabit tiga kes pecah tabung masjid berlainan di sekitar Batu Pahat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, suspek berusia 36 tahun didapati positif dadah, selain mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan kes dadah.

“Suspek lelaki berusia 36 tahun direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan, manakala kanak-kanak berusia 12 tahun dibebaskan dengan jaminan polis memandangkan masih bersekolah,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2019 @ 10:03 PM